AM

Siasatan Babit Tun Daim, Isteri Masih Diteruskan - Azam Baki

21/01/2025 06:26 PM

PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan membabitkan Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan isteri Toh Puan Naimah Abdul Khalid termasuk aspek pengesanan aset di luar negara.

Dalam sidang media khas di sini hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata wujud  indikator yang menunjukkan terdapat aset luar negara yang perlu dikesan berhubung kes berkenaan.

“Sekiranya ada kesalahan berkaitan dengan siasatan kami, kita akan membuat permohonan untuk mendapatkan kembali wang berkenaan,” katanya sambil menambah siasatan tidak mudah kerana membabitkan bidang kuasa dan undang-undang negara luar.

Pada Feb 2023, SPRM membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat yang ditemukan dalam Kertas Pandora yang membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan pada masa itu dengan Daim sebagai Menteri Kewangan.

Berikutan itu, SPRM mengeluarkan notis kepada Daim pada 7 Jun 2023 yang menghendaki beliau mengisytiharkan semua aset miliknya di dalam dan luar negara secara bertulis dan melalui akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis.

Bagaimanapun, Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dengan yang terakhir pada 14 Nov 2023 untuk melengkapkan pengisytiharan aset berkenaan.

Pada 29 Januari 2024, Daim didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas pertuduhan gagal mematuhi notis yang terakhir itu dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta dan satu akaun bank.

Selepas ahli perniagaan itu meninggal dunia pada 13 Nov 2024, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu telah melepas dan membebaskan Allahyarham daripada pertuduhan berkenaan.

Hakim Azura Alwi membuat perintah itu mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin setelah pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan