AM

KPT Utamakan Proses Baik Pulih WiFi Universiti Awam kurang 60 Peratus Penembusan

21/01/2025 09:34 PM

IPOH, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi keutamaan terhadap proses penambahbaikan akses rangkaian WiFi di semua universiti awam yang hanya mencapai tahap penembusan kurang daripada 60 peratus.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata proses berkenaan dilaksanakan secara berfasa dan tumpuan lebih terarah kepada meningkatkan capaian jalur lebar di lokasi-lokasi yang bermasalah dalam universiti terbabit.

“Penekanan kita adalah kepada universiti yang akses internetnya kurang daripada 60 peratus (penembusan jalur lebar). Masalah ini terjadi disebabkan ada lokasi-lokasi (dalam universiti) yang tidak mendapat liputan atas pelbagai sebab.

“Jadi, perkara ini kita akan cuba tangani supaya pelajar mendapat akses jalur lebar walaupun berada di mana-mana lokasi sekitar kampus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sesi lawatan kerja di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan kementerian itu menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperuntukkan lebih RM600 juta untuk menambah baik akses rangkaian WiFi di semua universiti awam di seluruh negara yang dijangka siap tahun ini.

Fahmi berkata antara aduan yang diterima MCMC daripada pihak universiti dan KPT ialah isyarat WiFi rendah walaupun terdapat liputan internet selain liputan mudah alih yang perlu ditambah baik, dan menambah menara perkhidmatan telekomunikasi mudah alih di luar bangunan kampus.

Mustapha berkata pihaknya turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen kerajaan berhubung isu berkenaan yang dilihat mampu memberi nilai tambah bagi membantu pelajar meningkatkan prestasi pembelajaran dalam bidang masing-masing.

“Ini juga membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan infrastruktur digital di universiti-universiti awam ini dipertingkat dan mencapai standard ditetapkan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata satu jawatankuasa khas melibatkan KPT, Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah dibentuk bagi menangani kemerosotan bilangan pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Mustapha berkata ketika ini sesi perbincangan berada di peringkat jawatankuasa teknikal dan segala dapatan akan diteliti bagi memastikan masalah itu diselesaikan dengan kaedah yang bersesuaian.

“Apa yang penting, kita dapat tangani masalah ini, dan pada masa sama terus melahirkan pelajar berkualiti serta memenuhi pasaran kerja dalam bidang STEM ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan