AM

Program SLEP Sukhoi Pastikan Jet Pejuang Tercanggih Negara Terbang 10 Tahun Lagi

22/01/2025 12:04 AM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Program Pelanjutan Hayat Kapal (SLEP) Sukhoi Su-30MKM yang dijalankan syarikat tempatan, Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC) membolehkan pesawat berkenaan beroperasi dengan baik dan boleh digunakan selama 10 tahun lagi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ATSC telah menjalankan kerja-kerja Lanjutan Hayat Perkhidmatan dan Kerja-Kerja Penyelenggaraan dan Membaik Pulih bagi memastikan pengoperasian pesawat lebih lama.

Beliau berkata pelaksanaan program berkenaan adalah bagi memastikan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berada pada tahap optimum dan kedaulatan negara terus diperkukuh.

Mohamed Khaled berkata ia turut menjimatkan perbelanjaan negara berbanding menghantar pesawat itu ke Rusia.

“Kejayaan ini menggambarkan keupayaan industri tempatan kita. Namun, syarikat tempatan perlu terus meningkatkan keupayaan dan mencari pendekatan terbaik dalam mengukuhkan industri ini, termasuklah melalui peningkatan R&D (penyelidikan dan pembangunan) serta meneroka peluang dan kerjasama baharu,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi beliau malam ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu dan menyaksikan Majlis Penyerahan Kontrak 10th Year SLEP pesawat Sukhoi Su-30MKM.

Turut berlangsung, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara ATSC dan Universiti Tun Hussein Onn dalam penyelidikan dan inovasi pertahanan, serta penyerahan sumbangan kebajikan kepada sembilan penerima Orang Kurang Upaya warga pangkalan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan