DENGKIL, 22 Jan (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas mercun dan bunga api serta dadah yang dianggarkan bernilai RM1.05 juta di empat lokasi sekitar Selangor, kata Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Raizam Setapa@Mustapha.
Raizam berkata pada 14 Jan lepas, sebanyak 1,330 kotak berisi mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM629,320 dirampas ketika serbuan di sebuah gudang di Beranang.
“Ada 11 jenis mercun dan bunga api yang dipercayai untuk pasaran tempatan. Ini kes pertama (mercun) paling besar tahun ini.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia 50-an telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mercun dan bunga api itu tidak mematuhi spesifikasi serta garis panduan ditetapkan dalam permit import dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Mengenai rampasan dadah, Raizam berkata rampasan dibuat di dua gudang syarikat logistik pada 3 Jan dan 5 Jan lepas di Petaling Jaya yang membawa kepada rampasan dua bungkusan dadah jenis kokain dianggarkan seberat sekilogram (kg) serta 1.1 kg.
Beliau berkata rampasan pertama melibatkan satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat berwarna putih disyaki dadah jenis kokain bernilai RM200,000.
“Modus operandi dengan menyorokkan dadah di bahagian tengah buku yang telah dilubangkan dan parcel diikrarkan sebagai mainan untuk dieksport ke luar negara,” katanya.
Bagi rampasan kedua, Raizam berkata pihaknya menemukan satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat berwarna putih disyaki dadah jenis kokain dianggarkan bernilai RM220,000.
“Modus operandi menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengeksport dagangan ke luar negara dengan mengikrarkan bungkusan sebagai ‘new gift book’,” katanya sambil menambah tiada tangkapan dilakukan bagi kedua-dua kes berkenaan.
Beliau berkata kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Raizam berkata pada 30 Dis lepas, pihaknya menyita satu bungkusan di Pusat Mel dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Bungkusan itu diikrarkan sebagai alat permainan dengan anggaran berat 1.3 kg, dianggarkan bernilai RM4,000 dan dialamatkan ke negara Eropah.
“Bungkusan itu memuatkan 100 katrij kaca rokok elektronik yang mengandungi bahan cecair dan lima batang gulungan kertas mengandungi leraian tumbuhan hijau. Kedua-duanya disyaki dadah jenis kanabis,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial