PASIR PUTEH, 22 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan 14 pendatang tanpa izin dipercayai warga Myanmar termasuk kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, Isnin lepas.
Pengarah Maritim Kelantan Erwan Shah Soahdi berkata tangkapan dilakukan hasil rondaan di perairan Malaysia-Thailand menerusi Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris setelah menerima maklumat mengenai sebuah bot gentian kaca disyaki cuba menyeludup masuk warga asing melalui Sungai Kuala Besar, Kota Bharu.
“Bot berwarna putih yang bergerak dalam keadaan mencurigakan itu cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota kita, namun berjaya ditahan selepas kejar buru kira-kira 40 minit,” katanya pada sidang media di Pejabat Maritim Malaysia dekat Tok Bali, di sini hari ini.
Erwan Shah berkata tekong bot itu melarikan diri ke dalam semak sebaik menghampiri tebing sungai manakala 14 warga Myanmar yang terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita termasuk kanak-kanak lingkungan dua hingga 30 tahun dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.
"Pemeriksaan lanjut mendapati lapan daripada mereka mempunyai pengenalan diri yang meragukan, manakala enam lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Beliau berkata kes berkenaan merupakan tangkapan pertama tahun ini melibatkan warga asing diseludup masuk menggunakan bot gentian kaca yang kebiasaannya digunakan untuk memancing.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26(J) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial