BALIK PULAU, 22 Jan (Bernama) -- Lima individu direman empat hari bagi membantu siasatan kes kemalangan maut seorang pelajar tingkatan lima yang dipercayai dilanggar ketika aktiviti merempit di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata perintah reman hingga Sabtu ini dibenarkan Mahkamah Majistret Balik Pulau terhadap empat remaja lelaki berumur 16 tahun dan seorang pemuda 21 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Seorang suspek berumur 16 tahun yang melanggar mangsa berusia 17 tahun menyerah diri di balai polis semalam manakala empat lagi suspek ditahan hasil soal siasat yang dilakukan terhadap remaja terbabit.
“Hasil semakan mendapati remaja itu dan pemuda berkenaan tiada lesen memandu manakala suspek lain memiliki lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sazalee berkata semakan juga mendapati pelajar yang maut itu memegang lesen L dan bukan kenalan kepada suspek.
Semalam, seorang pelajar lelaki tingkatan lima sebuah sekolah menengah maut akibat kemalangan selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti merempit di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Batu Maung.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira 4.30 pagi akibat kecederaan parah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial