BERITA TERGEMPAR   Malaysia and ASEAN should continue to engage, attract investors from the United States, Europe and China without being forced to take sides -- PM Anwar | 
 DUNIA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah, Dipengaruhi Kebimbangan Permintaan Kurang Dari India

22/01/2025 10:20 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Rabu, dipengaruhi kebimbangan mengenai permintaan berkurangan dari India susulan harga minyak alternatif yang lebih murah, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata kebimbangan timbul kerana harga minyak kacang soya di India lebih murah berbanding minyak sawit.

“Perkara itu menyebabkan sedikit peralihan permintaan kepada minyak kacang soya yang seterusnya memberi tekanan ke atas harga MSM. Kami mendapati sokongan pada paras RM4,150 satu tan dan rintangan pada RM4,300 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa berkata kontrak niaga hadapan MSM didagangkan rendah secara ketara, merosot 70 peratus daripada kenaikan yang dicatatkan sejak tiga hari lepas, dengan penurunan semakin jelas pada sesi kedua apabila sentimen bertukar lemah.

Beliau berkata penurunan itu disebabkan prestasi bercampur-campur yang dialami oleh minyak berkaitan, kenaikan ringgit, dan unjuran permintaan eksport yang lemah pada permulaan tahun ini.

Pada penutup dagangan, bulan kontrak yang baru disenaraikan Februari 2025 turun RM44 kepada RM4,464 satu tan, manakala Mac 2025 berkurangan RM40 kepada RM4,319 satu tan.

April 2025 susut RM52 kepada RM4,208 satu tan, Mei 2025 menguncup RM54 kepada RM4,134 satu tan, Jun 2025 merosot RM56 kepada RM4,096 satu tan, dan Julai 2025 turun RM53 kepada RM4,080 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 59,237 lot daripada 74,588 lot semalam, manakala kepentingan terbuka susut kepada 220,165 kontrak daripada 220,729 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan turun RM20 kepada RM4,600 satu tan, daripada RM4,620 satu tan semalam.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan