AM

Tarik Balik Lesen Memandu OKU Berdasarkan Kes Tertentu- Loke

23/01/2025 04:33 PM

IPOH, 23 Jan (Bernama) -- Kerajaan tidak mengamalkan dasar menarik atau membatalkan lesen memandu Orang Kurang Upaya (OKU), namun tindakan yang sewajarnya boleh diambil berdasarkan kes tertentu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata golongan OKU termasuk bagi kategori mental, tidak boleh dijadikan mangsa, hanya kerana terdapat kes terpencil yang melibatkan pemandu golongan itu.

“Bukan dasar kita untuk memukul rata semua OKU. Mereka juga memerlukan lesen untuk berulang-alik (bagi urusan seharian). Kita tidak boleh menganggap semua pemandu OKU tidak boleh membawa kenderaan dengan selamat,” katanya.

Loke berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Cadangan Pembangunan Ipoh Sentral antara Ipoh Sentral Sdn Bhd dan Country Annexe Sdn Bhd, di sini hari ini.

Beliau ditanya tentang cadangan sebuah persatuan pengguna supaya kerajaan menarik balik lesen individu yang disahkan sebagai OKU kategori mental, susulan kejadian tular melibatkan penunggang motosikal OKU mental dipukul di sebuah pasar pagi di Chukai, Terengganu pada 17 Jan.

-- LAGI

Kejadian itu dipercayai berpunca selepas motosikal lelaki itu terlanggar sebuah gerai sehingga menyebabkan makanan untuk jualan terjatuh.

Selain itu, Loke berkata kebanyakan golongan OKU yang diberi lesen oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merupakan pemandu yang bertanggungjawab dan mampu mengendalikan kenderaan dengan baik.

“Malah, pemandu e-hailing juga pemandu yang baik...kecuali dalam kes-kes tertentu yang mana kami akan menilai jika lesen perlu ditarik balik atau tidak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan