AM

Sultan Sharafuddin Berkenan Meriahkan Sambutan Tahun Baharu Cina Anjuran Bernama

23/01/2025 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menghadiri majlis makan tengah hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin ke majlis itu disambut oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin berkenan bersama-sama tetamu menggaul 'Yee Sang', iaitu satu daripada hidangan popular sempena Tahun Baharu Cina.

Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Mohd Shukri Ishak dan Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali.

Sementara itu, Wong dalam ucapan alu-aluannya berkata kehadiran Sultan Sharafuddin ke majlis itu amat bermakna kerana hari ini merupakan tarikh yang sama dengan keberangkatan baginda ke ibu pejabat Bernama di sini pada tahun lepas.

"Masih tersemat di hati patik yang penuh rasa terharu dan menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keberangkatan Tuanku ke Wisma Bernama pada 23 Jan 2024.

"(Junjung kasih) juga atas sokongan dan bimbingan yang telah Tuanku berkenan curahkan kepada Bernama secara khususnya dan kepada penggiat media di Malaysia secara amnya, selama ini.

"Secara peribadi, patik juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku atas sokongan berterusan Tuanku dan yang lebih penting, panduan serta nasihat yang telah Tuanku berikan kepada patik," kata Wong.

Majlis yang turut dihadiri editor pelbagai agensi media itu, diserikan dengan persembahan lagu tradisional Cina yang dimainkan menggunakan 'yangqin', alat muzik Cina, instrumen yang dipukul serta 'erhu', alat muzik bertali dua yang digesek.

Tahun Baharu Cina akan disambut pada 29 Jan ini, dan 2025 merupakan tahun ular mengikut kalendar lunar Cina yang membawa pelbagai simbolik, antaranya kebijaksanaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan