EKONOMI

Neurogine, Pos Indonesia Lancar Khidmat Kirim Wang Mudah Alih Pekerja Indonesia Di Malaysia

23/01/2025 06:44 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 23 Jan (Bernama) -Neurogine Sdn Bhd dan perkhidmatan pos nasional Indonesia, PT Pos Indonesia bersama-sama memperkenalkan Neurogine nRemit, perkhidmatan pengiriman wang mudah alih yang direka khas untuk komuniti Pekerja Migran Indonesia (PMI) di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine Owen Chen Chee Onn berkata kerjasama ini bagi menangani keperluan ekonomi dan sosial pekerja Indonesia di Malaysia apabila ramai dalam kalangan mereka mengirim wang secara berkala ke kampung halaman.

"Ini menyumbang kepada ekonomi Indonesia dan memperbaiki kehidupan keluarga mereka," katanya kepada Bernama hari ini.

Neurogine dilantik sebagai rakan teknologi Pos Indonesia dan sebagai wakil penyedia perkhidmatan pengiriman wang di Malaysia pada November 2023.

Pelaksanaan Neurogine nRemit akan dilakukan dalam tiga fasa iaitu pertama di Sabah dan Sarawak diikuti Kuala Lumpur serta terakhir di Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Chen berkata perkhidmatan berkenaan yang kini disepadukan ke dalam aplikasi mudah alih Pospay milik Pos Indonesia, dibangunkan dengan kerjasama QQ Pay Sdn Bhd iaitu pengendali Perniagaan Perkhidmatan Wang berlesen di Malaysia.

Beliau berkata, kerjasama ini meningkatkan perkhidmatan kewangan digital Neurogine di Malaysia.

Selain itu, katanya, pihak berkepentingan utama termasuk Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur serta pelbagai konsulat dan persatuan buruh diberi taklimat mengenai pelaksanaan inisiatif tersebut.

 Chen turut menekankan kepentingan sokongan pihak berkepentingan dalam memastikan pelaksanaannya yang lancar.

"Perkhidmatan ini membolehkan pengguna mengirim wang dari 20 bank yang mengambil bahagian dan enam eWallet di Malaysia ke akaun Pospay selain membolehkan pemindahan wang dilakukan secara masa nyata.

"Organisasi yang menggajikan PMI juga boleh menggunakan platform ini untuk mengirim wang secara pukal bagi pihak pekerja mereka," katanya.

Chen juga menekankan mengenai transaksi ini yang mematuhi peraturan kewangan Malaysia selain memastikan pengiriman wang yang selamat dan kos efektif.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Indonesia Faizal Rochmad Djoemadi menggambarkan kerjasama ini sebagai langkah penting dalam perjalanan syarikat untuk menjadi penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank utama di rantau Asia Pasifik menjelang 2026.

Beliau berkata sejak dilancarkan pada 2018, Pospay memperoleh lebih daripada lima juta pengguna berdaftar dengan aktiviti harian mencapai 380,000 pengguna.

Faizal turut berkongsi mengenai perkhidmatan ini yang memenuhi keperluan lebih daripada 12 juta pekerja Indonesia di luar negara termasuk kira-kira 2.7 juta di Malaysia yang boleh mendaftar untuk Pospay dengan menggunakan Nombor Pengenalan Penduduk 16 digit mereka.

Korridor pengiriman wang Malaysia-Indonesia adalah satu daripada yang terbesar di dunia, mencerminkan ikatan budaya dan geografi di antara kedua-dua negara.

Kluster populasi PMI utama di Kota Kinabalu, Tawau dan Kuala Lumpur akan menjadi tumpuan pelaksanaan awal bagi perkhidmatan itu.

Kerjasama ini diumumkan pada majlis pelancarannya di Jakarta yang dihadiri Naib Presiden Kanan Pos Indonesia Zuhed Nur serta eksekutif kanan lain.

Sebagai syarikat milik negara, Pos Indonesia memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Indonesia dan beroperasi di bawah pengawasan Kementerian Perusahaan Milik Negara.

Faizal turut menyatakan kebanggaan terhadap kerjasama ini dengan menekankan kesesuaian inisiatif berkenaan dengan objektif sosial dan ekonomi kerajaan Indonesia di bawah pimpinan Presiden Prabowo Subianto.

Perkhidmatan ini menawarkan yuran tetap sebanyak RM10 bagi setiap transaksi, membolehkan PMI membayar bil utiliti, yuran sekolah, melabur dalam emas atau mengeluarkan wang di ejen Pos Indonesia atau mesin juruwang automatik (ATM) di seluruh rangkaian luas Indonesia.

Dengan penyelesaian pemindahan wang yang inovatif dan boleh dipercayai ini, Neurogine dan Pos Indonesia berhasrat meningkatkan kesejahteraan kewangan pekerja migran Indonesia dan keluarga mereka serta mengukuhkan lagi ikatan ekonomi di antara Malaysia dengan Indonesia.

--BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan