JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Rakam Keterangan Pelawak Berhubung Isu Jenaka “Ham”

24/01/2025 08:45 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Seorang pelawak dan pelakon yang dipercayai membuat hantaran dalam akaun Facebooknya mengenai isu ham yang didakwa menghina agama Islam, telah dipanggil polis bagi membantu siasatan.

Mengesahkan perkara berkenaan, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata keterangan daripada pelawak berumur 54 tahun itu dirakam Rabu lepas.

Beliau berkata pihaknya turut mengenal pasti identiti seorang lagi individu yang mempunyai kaitan dalam kes terbabit dan dalam proses mengesannya.

“Setakat ini, sebanyak 16 laporan polis diterima berkaitan isu ini di seluruh negara dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 298 dan 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi.

Pelakon itu didakwa memuat naik hantaran itu ketika kontroversi status halal sandwic ham and cheese baru-baru ini yang didakwa membuka ruang mempersendakan agama Islam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan