KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- MY E.G. Services Bhd (MYEG) mengumumkan kerjasama strategik dengan MyDigital ID Solutions Sdn Bhd (MYIDSSB) bagi mewujudkan ekosistem identiti digital nasional yang dikuasakan oleh blokchain iaitu MyDigital ID Superapp, bertujuan memerangi penipuan dalam talian.
Dalam satu kenyataan, MYEG berkata MyDigital ID Superapp akan menyediakan penyelesaian yang lancar, selamat dan berskala untuk menyepadukan pengurusan identiti digital bagi penyedia-penyedia perkhidmatan komersial.
Dibina di atas Infrastruktur Blockchain Malaysia – inisiatif nasional di bawah agensi Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan Nasional Malaysia, MIMOS – platform ini menawarkan set alat yang komprehensif termasuk e-dompet, penyiaran berita dan persekitaran pembangunan perisian inovasi terbuka untuk perniagaan dan penyedia perkhidmatan memanfaatkan MyDigital ID.
“Lebih penting lagi, inisiatif ini tepat pada masanya, kerana ia muncul di tengah-tengah peningkatan seruan daripada pemimpin dan penggubal dasar di pelbagai acara peringkat menteri China-ASEAN untuk penubuhan standard digital yang boleh dikendalikan dan sistem pengesahan identiti berasaskan blokchain untuk melindungi keselamatan dalam talian dan memerangi penipuan.
“MYEG melalui rangkaian blockchain awam Layer One Zetrix, menawarkan penyelesaian ID global paling komprehensif, menyokong bukan sahaja MyDigital ID tetapi juga ID digital warga China dan entiti perniagaan, serta World ID rangkaian dunia,” katanya.
Penipuan terus memberi bencana kewangan dan emosi di seluruh Malaysia, dengan Laporan State of Scam 2024 baru-baru ini mendedahkan kerugian sebanyak RM54.02 bilion (US$12.8 bilion) sepanjang tahun lalu.
Angka ini bersamaan dengan 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar negara, menekankan keperluan mendesak untuk tindak balas yang lebih kukuh terhadap penipuan.
Di tempat lain, penipu siber di Asia Tenggara mencuri sehingga US$37 bilion pada 2023, dengan peningkatan ketara dalam jenayah yang didorong oleh kecerdasan buatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial