AM

Bomba Keluar 26 Notis Hapus Bahaya Kebakaran Terhadap Premis Di Terengganu

26/01/2025 06:36 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Jan (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengeluarkan 26 notis penghapusan bahaya kebakaran sempena kempen keselamatan kebakaran Tahun Baharu Cina sejak 13 Jan lepas.

Pengarah JBPM Terengganu Nor Mahathir Muhammad, berkata notis tersebut melibatkan 24 inap desa dan hotel serta dua pusat beli-belah yang didapati melanggar tafsiran bahaya kebakaran seperti termaktub dalam Seksyen 2 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

"Notis ini dikeluarkan hasil daripada 103 pemeriksaan ke atas bangunan dan lokasi tumpuan awam, termasuk pusat membeli-belah, hotel, dan inap desa sejak 13 Jan lalu. Pemantauan akan diteruskan sehingga kempen ini berakhir pada 6 Feb nanti.

"Premis tersebut menjadi fokus utama bomba untuk memastikan pemiliknya mematuhi aspek keselamatan kebakaran, terutama kerana mereka kini menerima jumlah kunjungan yang tinggi daripada orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baharu Cina 2025, yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 28 kes kebakaran telah direkodkan sepanjang tempoh tersebut, melibatkan 19 kes kebakaran perkakasan rumah, lima kebakaran kenderaan, serta masing-masing dua kes kebakaran struktur dan kebakaran terbuka.

Nor Mahathir turut memaklumkan bahawa JBPM Terengganu akan melakukan rondaan di kawasan pantai dan rekreasi air bagi mengelakkan sebarang kes risiko di air selain menempatkan jentera dan anggotanya di hentian Rehat dan Rawat (RnR) Perasing di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sebagai persediaan menghadapi risiko kemalangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan