KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Lebih 100 warga emas diraikan melalui pemberian bantuan "Bakul Makanan Mesra Kasih Sungai Buloh" bersempena dengan Tahun Baharu Cina esok.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata beliau turut mengedarkan buah limau mandarin sebagai simbol kemakmuran dan angpau merah tanda keberkatan pada majlis dianjurkan Persatuan Kochow Kampung Baru Subang bersama warga emas Parlimen Sungai Buloh itu.
“Cukup meriah dan saya cukup terharu atas sambutan diberikan. Bagi saya, sejak saya memimpin Parlimen ini, sudah menjadi pegangan saya ‘merakyatkan Parlimen Sungai Buloh’ melalui program-program yang dapat memperkasakan komuniti bagi memperkukuh lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain.
“Sempena Tahun Baharu Cina ini, marilah kita sama-sama menyebarkan kasih sayang dan meraikan dalam suasana gembira, ceria bersama seisi keluarga, rakan-rakan dan rakyat Malaysia,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berharap semoga Tahun Ular kali ini akan memberikan kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagiaan yang lebih gemilang untuk negara dan rakyat Malaysia.
Beliau berkata Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menggerakkan pelbagai usaha dan inisiatif untuk menjamin harapan rakyat.
“Fokus utama beliau ialah merakyatkan agenda MADANI untuk semua rakyat secara inklusif. Gong Xi Fa Chai! Harap semua impian anda menjadi kenyataan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial