JENAYAH & MAHKAMAH

Sibu Rekod Kerugian Lebih RM20 Juta Akibat Jenayah Komersial

28/01/2025 04:30 PM

SIBU, 28 Jan (Bernama) -- Ibu Pejabat Daerah (IPD) Daerah Sibu merekodkan jumlah kerugian wang tunai akibat jenayah komersial mencecah RM20,143,509.90 sepanjang tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 581 kertas siasatan telah dibuka dan bagi penyelesaian kes tahun lepas sejumlah 404 pertuduhan telah dibuat.

Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah kerugian itu, RM17,884,920.24 melibatkan kes tipu yang disiasat di bawah Seksyen 415 hingga Seksyen 420 Kanun Keseksaan; pecah amanah jenayah membabitkan RM1,653,016.65 (Seksyen 405 hingga Seksyen 409 Kanun Keseksaan); kerugian mencecah RM515,648.01 bagi jenayah siber (Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997), along yang merekodkan RM89,925.00 (Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951).

“Bagi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, sebanyak 49,988 saman dikeluarkan dan sejumlah RM1,378,088 telah dikenakan berkaitan dengan pelbagai kesalahan trafik,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan IPD Sibu di sini hari ini.

Perhimpunan berkenaan menyaksikan 27 petugas IPD Sibu menerima sijil penghargaan Ketua Polis Daerah, 11 menerima sijil penghargaan Pesuruhjaya Polis Sarawak dan 19 pegawai rendah polis mendapat kenaikan pangkat.

Zulkipli berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik telah membuat rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM298,942 dengan jumlah tangkapan sebanyak 1,098 orang sepanjang tahun lepas.

Dalam tempoh itu juga, katanya rekod kes jenayah indeks ialah 697 kes dan kes selesai sebanyak 657 atau 94 peratus.

"Sesungguhnya, semua pencapaian bertitik tolak daripada kesungguhan dan komitmen warga kerja IPD Sibu dalam menghasilkan kecemerlangan perkhidmatan sekali gus memastikan keselamatan umum daerah Sibu sentiasa terpelihara dan terjamin,” katanya.

Selain itu, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti telah mengadakan strategi tindakan berupa penglibatan komuniti melalui kempen kesedaran keselamatan, seperti program rondaan sukarela dan program jiran pintar yang berjaya meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keberkesanan polis dalam menjaga keselamatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan