SUKAN

Hafiq Yakin Mampu Bawa Cabaran Lebih Besar

28/01/2025 08:10 PM

Oleh R. Vikneswaran

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Dalam dunia berbasikal trek yang penuh cabaran dan persaingan sengit, muncul seorang bintang muda yang sedang menyinar—Muhammad Hafiq Mohd Jafri.

Pelumba endurance ini, yang baru sahaja menginjak usia 20 tahun pada 21 Januari lepas, melakar impian besar untuk membawa nama Malaysia ke pentas Olimpik.

“Saya yakin dengan peluang yang cukup, saya mampu mengangkat kategori endurance ke tahap yang lebih tinggi, mungkin ke Olimpik,” kata Hafiq dengan penuh keyakinan.

Bagi Hafiq, impian itu tidak datang tanpa usaha keras serta beliau dan rakan-rakan sepasukan sentiasa berjuang untuk membuktikan bahawa kategori endurance juga mampu menempah nama seperti jaguh acara pecut dan keirin Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan bekas pelumba kebangsaan Josiah Ng.

“Namun, untuk sampai ke sana, kami perlu mengumpul mata ranking dengan menyertai lebih banyak perlumbaan. Pendedahan itu penting. Tanpa peluang, impian akan kekal sebagai mimpi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menuju ke Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) bukanlah misi mudah, namun beliau berkata jika diberi peluang untuk menyertai banyak perlumbaan, mungkin dapat melayakkan diri.

Pelumba kelahiran Melaka yang memulakan kariernya menerusi Junior Cycling Malaysia (JCM) pada 2016, kini berharap untuk beraksi pada Sukan SEA Thailand Disember ini sambil bersiap sedia untuk Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACT) 2025 di Nilai, bulan depan.

“Saya berharap kali ini dapat beraksi dalam acara omnium kerana ketika penampilan pertama bagi kategori elit tahun lepas di New Delhi, saya mendapat kedudukan ketujuh. Kalau boleh, kali ini saya nak meningkatkan pencapaian itu,” katanya.

Hafiq mengakui saingan dari pelumba-pelumba elit seperti Jepun, Korea Selatan dan Indonesia adalah cabaran terbesar yang bakal dihadapinya.

Inspirasi daripada jaguh dunia seperti Benjamin Thomas, pemenang pingat emas omnium Olimpik Paris 2024 dan idolanya Azizulhasni menjadi motivasi yang tidak ternilai bagi pelumba muda ini yang baru menyertai skuad senior kebangsaan tahun lepas.

“Melihat kejayaan mereka memberikan saya semangat untuk terus maju. Mereka membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil jika ada tekad dan usaha,” ujarnya.

Sebagai rekod, Hafiq bukan sekadar seorang pelumba biasa, malah sudah meraih pingat perak kategori junior acara omnium di ACT 2022 di New Delhi, selain gangsa acara ujian masa 1,000m di Sukan Remaja Komanwel 2023 di Trinidad & Tobago.

“Ini baru permulaan. Saya akan terus berjuang, tidak kira seberapa sukar perjalanan ini,” katanya, suara tegas menggambarkan tekad seorang juara dalam pembikinan.

Disiplin berbasikal trek terbahagi kepada dua kategori iaitu jarak pendek seperti acara pecut, keirin dan ujian masa manakala acara pursuit, scratch, perlumbaan mata, madison, dan omnium merangkumi perlumbaan jarak jauh yang menguji daya ketahanan pelumba.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan