JENAYAH & MAHKAMAH

Pasangan Kekasih Didakwa Bunuh Bayi Perempuan Di Port Dickson

31/01/2025 02:57 PM

SEREMBAN, 31 Jan (Bernama) -- Seorang wanita dan kekasihnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang bayi perempuan di sebuah rumah di Teluk Kemang, Port Dickson pada 21 Jan lepas.

Nurul Ain Haslan, 19, dan Muhammad Emer Irfan Hasren, 21, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, pasangan tersebut dengan niat bersama telah membunuh seorang bayi perempuan yang mengakibatkan kematian di sebuah rumah di Teluk Kemang, Port Dickson antara 5.30 pagi hingga 4 petang pada 21 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon satu tarikh bagi laporan bedah siasat, kimia, forensik dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Mahkamah menetapkan 27 Feb ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Port Dickson.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan sepasang kekasih di dua lokasi berasingan selepas disyaki terlibat menyembunyikan kelahiran sehingga menyebabkan kematian seorang bayi perempuan di sebuah rumah di Telok Kemang, Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Port Dickson pada 11.13 pagi mengenai seorang pesakit perempuan warga tempatan telah melahirkan anak tetapi bayinya gagal dikesan.

Beliau berkata siasatan lanjut yang dijalankan telah menemukan bayi berkenaan disembunyikan dalam beg di bilik sebuah rumah di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan