Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup sedikit tinggi pada Jumaat, mengambil petunjuk harga minyak mentah penanda aras yang stabil dan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan getah asli ekoran cuaca lembap di negara pengeluar getah utama, kata seorang peniaga.
Pada 5 petang, harga minyak mentah Brent naik sedikit sebanyak 0.12 peratus kepada US$77.08.
Bagaimanapun, peningkatan seterusnya dihadkan oleh prestasi bercampur-campur pasaran niaga hadapan getah serantau dan kebimbangan terhadap potensi tarif perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS), katanya.
"Sementara itu, niaga hadapan getah Jepun naik pada Jumaat dan dijangka mencatat peningkatan bulanan berikutan cuaca yang semakin buruk di Thailand mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan. Bagaimanapun, kenaikan itu dihadkan oleh pengukuhan yen," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata hujan baru-baru ini di Thailand melembapkan pertumbuhan pengeluaran menjelang musim daun pokok getah luruh.
"Musim monsun timur laut yang melanda kawasan Teluk dan Selatan Thailand dijangka semakin kuat yang membawa lebih banyak hujan dan hujan lebat setempat," katanya, merujuk kepada laporan Jabatan Meteorologi Thailand.
Lembaga Getah Malaysia melaporkan pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat satu sen kepada 884 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut satu sen kepada 677 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial