KUCHING, 31 Jan (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan segera lebih RM25 juta untuk Sarawak dan Sabah yang diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini.
“Kita andaikan jumlah itu dibahagi dua, jadi terima kasihlah atas peruntukan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pusat Bulan Sabit Merah, Miri, yang menempatkan penduduk Kampung Lereng Bukit yang dipindahkan berikutan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan lima nyawa tiga hari lalu.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara Abun Sui Anyit menyifatkan pengumuman Perdana Menteri sebagai satu langkah menunaikan permintaannya sebelum ini dan bakal memberi kelegaan kepada Sarawak dalam menghadapi bencana ini.
“Apa yang lebih penting ialah peruntukan ini mesti benar-benar sampai kepada sasaran iaitu mangsa bencana serta usaha membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir,” katanya ketika dihubungi.
Pengerusi Persatuan Anaq Vaie Bintulu, Pandi Suhaili, pula berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan bantuan lain bagi memulihkan kehidupan masyarakat di Bintulu yang paling terjejas akibat kejadian banjir ini.
Menurutnya, lebih 500 ahli persatuan itu di Bintulu terkesan dengan banjir yang berlarutan sejak sehari sebelum perayaan Tahun Baharu Cina bermula dan sebahagian besar daripada mereka yang terjejas merupakan golongan berpendapatan rendah dan bekerja sebagai nelayan.
“Saya berharap selain peruntukan untuk membaik pulih infrastruktur, kerajaan juga dapat membantu ahli kami yang menjadi mangsa banjir terburuk dalam sejarah di Bintulu ini menerusi pemberian bantuan khas untuk membaiki kediaman ataupun membeli peralatan bagi mereka mencari nafkah,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial