EKONOMI

Kerjasama Weststar GAP, Santos Perkukuh Hubungan Perniagaan Malaysia, Timor Leste Dan Australia

31/01/2025 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Jalinan kerjasama membabitkan Weststar GAP Ltd dan peneraju minyak dan gas dikenali di peringkat global, Santos Australia, membuktikan potensi kukuh bagi meningkatkan lagi hubungan perniagaan antara Malaysia, Timor Leste dan Australia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerjasama itu turut memaparkan bagaimana kerajaan terbabit komited dalam menyokong pertumbuhan perniagaan selain mewujudkan peluang inovosi, pembangunan kemahiran serta kemakmuran serantau.

“Kerjasama ini menjadi bukti jelas apa yang dapat dicapai apabila negara-negara terbabit dapat berganding bahu ke arah mencapai matlamat bersama.

“Ini juga dapat mengetengahkan khususnya peningkatan peranan syarikat-syarikat Malaysia di pentas pasaran global selain membuktikan pendirian kerajaan Malaysia yang mesra industri, perniagaan dan pelaburan,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian perjanjian antara Weststar-GAP Aviation LDA dan Santos Australia di Timor-Leste, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Timor-Leste Francisco da Costa Monteiro, Menteri Pengangkutan Miguel Marques Gonçalves Manetelu, Pengarah Urusan Kumpulan Weststar-GAP Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Timor GAP Rui Soares.

Di bawah kerjasama itu, Tengku Zafrul juga berkata Weststar GAP akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan helikopter yang penting bagi menyokong operasi Santos di wilayah Bayu-Undan di Timor-Leste.

Selain itu, pewujudan Weststar GAP Ltd menerusi kerjama dengan Timor GAP EP turut menekankan potensi rentas sempadan bagi membuka peluang baharu bagi tujuan inovasi, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti, kata beliau.

Tengku Zafrul berkata sejajar usaha Malaysia untuk terus meningkatkan libat urus dengan Timor-Leste, negara ini juga bersedia menyediakan sokongan sewajarnya menerusi saluran diplomatik, ekonomi dan perdagangan.

“Menerusi langkah bagi penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN, Malaysia berharap pertumbuhan ekonomi serantau dapat diperkukuhkan dalam tujuh aspek keterangkuman dan kemampanan selain ASEAN terus makmur yang pada akhirnya dapat muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan