SUKAN

Sabah FC Buru Impian Beraksi Di Pentas Final Piala Malaysia

01/02/2025 06:25 PM

KOTA KINABALU, 1 Feb (Bernama) -- Sabah FC bertekad untuk menamatkan penantian 22 tahun beraksi di pentas final Piala Malaysia dengan menewaskan Sri Pahang FC pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh malam esok.

Penolong Ketua Jurulatih Alto Linus berkata bagi menjadikan impian itu suatu realiti, anak-anak buahnya perlu bekerja keras setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan pertama di Stadium Likas pada 18 Jan lepas.

“Malam esok misi utama kita sudah semestinya ke final. Sabah FC sudah lama tidak ke pentas final, dan kali terakhir ialah 22 tahun lepas.

“Persembahan Sabah FC perlu lebih baik daripada aksi separuh akhir pertama. Kita mahu siapa saja pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan ini mampu melakukan yang terbaik.

“Inilah masa yang sangat dinanti-nantikan bagi memastikan impian rakyat Sabah melihat mereka beraksi di pentas final Piala Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Alto berkata Sabah FC fokus mencapai kemenangan biarpun bukan beraksi di laman sendiri dan dijangka berdepan tentangan sengit daripada pasukan lawan.

Pada perlawanan separuh akhir pertama, Sabah FC hanya mampu seri 1-1 dengan Sri Pahang FC masing-masing hasil jaringan pemain tengah skuad The Rhinos Stuart Wilkin dan kapten skuad Tok Gajah Kpah Sherman. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan