SEPANG, 2 Feb (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang dilancarkan hari ini, berfungsi sebagai agensi tunggal di sempadan, menyatukan kepakaran dan sumber dari pelbagai jabatan kerajaan untuk menyelaraskan operasi di semua pintu masuk negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penubuhan AKPS iaitu agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu menandakan komitmen kerajaan MADANI yang tidak berbelah bahagi untuk mewujudkan rangka kerja kawalan sempadan yang lancar dan cekap.
“Era globalisasi yang sedang berada di hadapan kita pada hari ini menuntut semua pihak untuk bersedia dengan keperluan sistem pengurusan sempadan lebih mantap dan bersepadu.
“Pelbagai usaha serta inisiatif telah dirintis oleh kerajaan dalam usaha memastikan Malaysia kekal sebagai negara perdagangan berdaya saing dengan penyampaian perkhidmatan di pintu-pintu masuk negara yang cekap dan berintegriti,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran AKPS di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Fadillah berkata penubuhan AKPS ditunjangi oleh lima objektif utama iaitu menyatukan pelbagai fungsi penguatkuasaan sempadan di bawah satu chain of command, memudahkan aktiviti perdagangan dan perjalanan, memperkukuh aspek keselamatan, mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan serta perlindungan dan keselamatan sempadan negara meliputi udara, laut dan darat melalui kerjasama bersepadu agensi terlibat.
Beliau berkata AKPS penting untuk Malaysia mengesahkan komitmen terhadap kerjasama dan integrasi serantau, dalam konteks negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Dengan meningkatkan keupayaan kawalan sempadan, kita bukan sahaja menjaga kedaulatan malah memudahkan pergerakan supaya lebih lancar merentasi sempadan dalam rantau ASEAN.
“Ini penting kerana kita berusaha ke arah Asia Tenggara yang lebih terhubung dan makmur. Bukan itu sahaja, pengoperasian AKPS lebih mencabar kerana akan melibatkan delegasi dari pelbagai negara ASEAN yang datang untuk menyertai persidangan di negara kita,” katanya.
Beliau berkata AKPS juga memainkan peranan penting dalam memastikan sempadan negara mesra dan cekap sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kita menjangkakan kemasukan pelancong untuk merasai budaya kita, kepelbagaian landskap semula jadi dan layanan mesra yang ditawarkan oleh Malaysia.
“Dengan memperkemas proses dan meningkatkan perkhidmatan di pintu masuk, kita akan menjelmakan penilaian awal yang positif untuk pelawat datang ke negara kita,” katanya.
Fadillah berkata keperluan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam strategi kawalan sempadan negara dilihat sangat kritikal.
Menurut beliau, penggunaan teknologi AI dalam kawalan pintu masuk dan sempadan melalui aplikasi terkini secara optimum akan membantu pegawai di pintu masuk memantau, menilai, merancang serta menguatkuasakan tindak balas terhadap sebarang bentuk ancaman yang dihadapi.
“Sebagai contoh, penyelarasan dan analisis data daripada kamera litar tertutup (CCTV) dan mesin pengimbas barangan di pintu masuk yang dilengkapi teknologi AI akan mempertingkatkan keupayaan para pegawai dalam membangunkan analisis risiko di pintu masuk.
“Pendekatan proaktif ini boleh membantu agensi seperti AKPS dalam memintas potensi ancaman sebelum ia berlaku, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan secara keseluruhan di pintu masuk dan sempadan negara,” katanya.
Selain itu, Fadillah berkata data yang dipacu dengan algoritma lanjutan AI, contohnya pengecaman wajah dan pemprosesan dokumen pintar akan membantu memperkemas proses pemeriksaan orang serta barangan oleh pegawai.
“Senario ini secara langsung akan memastikan proses pelepasan barangan yang berisiko rendah dapat dipercepatkan. Perkara ini sangat penting bagi meningkatkan daya saing pelabuhan-pelabuhan dan terminal-terminal kargo negara.
“Berdasarkan analisis data, AKPS juga dapat memastikan perancangan sumber manusia yang optimum dan mengikut keutamaan, bagi memastikan pegawai ditempatkan di kawasan kritikal,” katanya.
Beliau berkata kerajaan bersedia untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan bagi meneroka penggunaan teknologi dan sistem baharu yang boleh meningkatkan lagi keupayaan pengurusan sempadan negara.
“Kerjasama dengan institusi akademik, rakan kongsi sektor swasta dan penerapan amalan terbaik dari negara-negara lain adalah penting dalam usaha ini.
“Dengan memanfaatkan sumber-sumber terbaik, AKPS mampu mendahului ancaman yang bakal muncul dan memastikan sempadan kita teguh dan berdaya tahan,” katanya.
AKPS ditubuhkan secara rasmi selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Okt 2024, dan diterajui oleh Datuk Seri Hazani Ghazali sebagai Ketua Pengarahnya yang pertama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial