AM

Caruman Dua Peratus Untuk Pekerja Asing Seimbangkan Kebajikan Dan Perniagaan - FMM

03/02/2025 07:22 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Cadangan kerajaan untuk melaksanakan kadar caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi pekerja asing mencerminkan usaha mengimbangi kebajikan pekerja dan kemampanan perniagaan, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Kadar itu lebih rendah berbanding cadangan awal sebanyak 12 peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata pihaknya sebelum ini telah bekerjasama dengan KWSP untuk menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan awal itu, memetik beban kos terkumpul ke atas majikan, termasuk caruman berkanun yang lebih tinggi, perbelanjaan operasi yang meningkat dan kos berkaitan buruh yang semakin bertambah.

“FMM mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mengurangkan kadar caruman KWSP kepada dua peratus untuk pekerja asing, berbanding kadar yang dicadangkan sebelum ini yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024, yang termasuk kenaikan tahunan selama enam tahun,” kata Soh dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata FMM kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan dasar yang mempengaruhi sektor pembuatan mencapai keseimbangan antara pertumbuhan perniagaan dan amalan buruh yang adil.

“Kami berharap dapat meneruskan libat urus dengan kementerian-kementerian berkaitan bagi menangani sebarang kebimbangan dan memastikan pelaksanaan yang lancar terhadap struktur caruman KWSP baharu,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata cadangan berkenaan akan dibincangkan di mesyuarat Kabinet minggu ini, dan Kementerian Sumber Manusia akan mengumumkan butiran terperincinya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Anwar mengumumkan cadangan untuk mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum kepada KWSP dan akan memberikan layanan yang adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan