EKONOMI

BR Capital, Kopetro Memeterai MoC Tingkat Akses Ke Pelaburan Pendapatan Tetap

03/02/2025 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia RAM Capital Sdn Bhd (BR Capital), usaha sama antara Bursa Malaysia Bhd dan Ram Holdings Bhd, telah menandatangani Memorandum Kerjasama (MOC) dengan Koperasi Kakitangan Petronas Bhd (Kopetro) untuk mengembangkan akses kepada pelaburan pendapatan tetap kepada ahli Kopetro.

MOC itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia dan Pengerusi BR Capital, Datuk Muhamad Umar Swift serta Ketua Pegawai Eksekutif Kopetro, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah. 

Kedua-dua pihak melalui satu kenyataan bersama menjelaskan kerjasama itu akan membantu ahli mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka selain mewujudkan aliran pendapatan tambahan untuk pembinaan kekayaan jangka panjang termasuk memupuk penyertaan yang lebih besar dalam pasaran pendapatan tetap Malaysia yang semakin meningkat.

“Fokus lain adalah bagi meningkatkan kesedaran pelabur mengenai peluang baharu dalam platform BR Capital. 

“Ini akan dicapai melalui inisiatif pendidikan dan program jangkauan bagi memaklumkan ahli Kopetro tentang manfaat serta potensi pelaburan pendapatan tetap dalam pemeliharaan dan pertumbuhan kekayaan,” katanya.

Langkah penting dalam memperluaskan peluang pelaburan kepada 15,000 ahli Kopetro adalah dengan memberikan mereka akses kepada platform pengumpulan dana dan pelaburan BR Capital.

“Melalui perkongsian ini, ahli -ahli akan berpeluang untuk meneroka pelbagai instrumen pelaburan yang lebih luas yang berpotensi menjana pulangan yang mampan sambil menyelaraskan prinsip kewangan yang bertanggungjawab serta opsyen pelaburan yang strategik termasuk mengukuhkan daya tahan kewangan mereka dan pertumbuhan jangka panjang,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Muhamad Umar berkata MOC adalah langkah strategik BR Capital untuk memperluaskan pangkalan pelabur dalam pasaran modal Malaysia.

“Bersama dengan Kopetro, kami mahu memperkasakan perjalanan pelaburan ahli Kopetro dengan memberi mereka peluang untuk mempelbagaikan portfolio dan mewujudkan kekayaan melalui nota pelaburan berkualiti tinggi di platform kami,” kata beliau.

“Kami optimis kerjasama ini akan memupuk persekitaran pelaburan yang dinamik yang mampu memberi faedah kepada penerbit dan pelabur, serta ekonomi Malaysia yang lebih luas,” katanya.

 

 

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan