AM

Presiden Uzbekistan Berlepas Pulang

05/02/2025 10:11 PM

SEPANG, 5 Feb (Bernama) -- Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev berlepas pulang selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia hari ini.

Pesawat Uzbekistan Airways yang membawa Mirziyoyev dan delegasinya berlepas ke Tashkent pada 8.50 malam.

Mirziyoyev diberikan upacara pelepasan permaidani merah dan kawalan kehormatan setempat oleh pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Uzbekistan dan degelasinya.

Terdahulu, Malaysia dan Uzbekistan menyatakan komitmen untuk memerangi rasuah, selain memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama dalam bidang pendidikan, pelancongan dan sektor lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mirziyoyev turut bersetuju untuk memperkukuh program pertukaran antara institusi pengajian tinggi serta institut penyelidikan sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan hubungan antara rakyat selain saling memahami antara kedua-dua negara.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk memanfaatkan kempen ‘Tahun Melawat Malaysia 2026’ serta meneroka peluang dalam pelancongan Islam dan industri halal, termasuk mempromosikan program ‘Umrah+’ bagi memasarkan Malaysia dan Uzbekistan sebagai destinasi pelancongan pra atau pascahaji bagi pelawat dari kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju untuk memanfaatkan penerbangan terus Kuala Lumpur-Tashkent yang dikendalikan oleh Uzbekistan Airways dan Batik Air Malaysia.

Anwar dan Mirziyoyev turut menyaksikan pertukaran tujuh dokumen dua hala melibatkan kerjasama dalam bidang kastam, latihan diplomatik, kesihatan, sains forensik, budaya, pendidikan tinggi dan industri halal.

Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia dan Uzbekistan menurun sedikit sebanyak 13.2 peratus kepada RM369.8 juta (US$80.9 juta) berbanding RM426.1 juta (US$94 juta) pada 2023. Imbangan dagangan memihak kepada Malaysia berjumlah RM360.3 juta (US$78.9 juta).

Pada 2024, Uzbekistan kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan