KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd akan menyediakan 42 perkhidmatan bas perantara percuma bagi kemudahan orang ramai yang ingin ke Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor dan Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Pulau Pinang sempena sambutan Thaipusam Selasa ini.
Rapid Bus dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua bas itu disediakan bagi menyokong operasi 24 jam yang melibatkan 30 bas di Kuala Lumpur (Rapid KL) dan 12 bas di Pulau Pinang (Rapid Penang).
“Inisiatif ini adalah sokongan daripada Rapid Bus bagi memudahkan orang ramai mengunjungi lokasi berkenaan dan menggalakkan pengunjung menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan di kawasan sekitar.
“Pihak operasi akan memantau keperluan penumpang dari semasa ke semasa dan bersedia menambah bilangan bas sekiranya perlu bagi memastikan keselesaan penumpang,” menurut kenyataan itu.
Perkhidmatan bas perantara percuma di Kuala Lumpur akan beroperasi pada 10 Feb mulai 6 pagi hingga 12 tengah malam (11 Feb) dengan kekerapan 10 minit bagi laluan Hab Bandar Pasar Seni-Batu Caves (BC02), Stesen LRT Gombak-Batu Caves (BC03) dan Stesen MRT Kampung Batu-Batu Caves (BC04).
Pada 11 Feb, perkhidmatan itu akan mula beroperasi seawal 12 tengah malam hingga 12 tengah malam (12 Feb) bagi laluan sama.
Bagi perkhidmatan bas percuma di Pulau Pinang, ia melibatkan laluan Terminal Weld Quey (Jetty) -Hospital Adventist Pulau Pinang dengan kekerapan antara 20 hingga 60 minit, bergantung kepada waktu ketibaan perkhidmatan feri.
Waktu operasi di Terminal Weld Quey (Jetty) untuk trip pertama akan bermula pada 7 pagi (10 Feb) dan trip akhir pada 1 pagi (12 Feb) manakala di Hospital Adventist Pulau Pinang pula, trip pertama adalah pada 7.30 pagi (10 Feb) dan trip akhir pada 2 pagi (12 Feb).
Rapid Bus turut menyeru pengguna jalan raya agar tidak meletakkan kenderaan dan menghalang laluan bas serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Untuk itu, Rapid Bus akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kelancaran operasi perkhidmatan bas perantara percuma di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu.
Maklumat lanjut berkaitan perkhidmatan itu boleh didapati menerusi laman media sosial Rapid KL di Facebook (@myrapid) dan Instagram (@myrapidkl), serta Rapid Penang di Facebook (@rapidpgfans) dan Instagram (@myrapidpg).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial