JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tumpas Sindiket Seludup Rokok, Minuman Keras Lebih RM4 Juta Di Keningau

06/02/2025 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok dan minuman keras tidak bercukai kastam berjumlah RM4.45 juta  dalam serbuan di tiga premis di Keningau, Sabah, Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata hasil serbuan itu dalam operasi bersepadu Op Taring Alpha 1 dan Alpha 2, polis menahan lima individu terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, tiga lelaki dan seorang wanita warga Indonesia.

“Kita merampas 4,603 karton minuman keras pelbagai jenama, 3,120 karton rokok,empat kenderaan kenderaan dan tiga unit telefon bimbit yang dianggarkan bernilai lebih RM4 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejayaan itu, katanya, pihaknya berjaya memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan, pengedaran dan penjualan arak dan rokok tidak berkastam yang bergerak aktif di sekitar kawasan Keningau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan tidak berkastam dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Azmi berkata bagi 1 Januari hingga Isnin lepas, PDRM melalui Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) telah melaksanakan 46 serbuan di seluruh negara dengan 51 individu ditahan atas pelbagai kesalahan, termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta penjualan senjata tiruan.

“Jumlah keseluruhan rampasan dalam tempoh ini mencecah RM181.25 juta,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa PDRM akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan keselamatan negara serta hasil cukai kerajaan tidak terjejas.

“Kerjasama orang awam amat digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras jenayah ini sepenuhnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan