AM

Fahami Budaya Pemanduan, Peraturan Jalan Raya Thailand Untuk Elak Kemalangan

07/02/2025 02:48 PM

JITRA, 7 Feb (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang berhasrat untuk berkunjung ke Thailand, khususnya dengan memandu kenderaan dinasihatkan memahami budaya pemanduan dan peraturan jalan raya negara itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pengarah Urusan syarikat insurans, Gothai.my Sdn Bhd Mohd Syafiq Johari berkata kurang pemahaman terhadap perkara tersebut dilihat menjadi antara punca utama kemalangan jalan raya melibatkan rakyat Malaysia di negara jiran itu. 

“Ramai rakyat Malaysia menganggap peraturan jalan raya dan budaya pemanduan di Thailand sama seperti di negara ini sedangkan ia sedikit berbeza, yang menyebabkan mereka boleh terlibat kemalangan jika tidak lebih berwaspada.

“Sebagai contoh, jika seseorang pemandu itu berada di laluan utama dan berada di persimpangan, pemandu tersebut perlu berhati-hati dan tidak boleh menganggap pengguna jalan raya lain akan memberi laluan kepadanya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata punca lain yang menyebabkan pemandu dari Malaysia terbabit kemalangan disebabkan tidur mikro (microsleep) ketika pemanduan kerana mengantuk atau keletihan selepas memandu dalam tempoh lama.

Mohd Syafiq berkata terdapat beberapa kes kemalangan berlaku ke atas pemandu dari Malaysia, khususnya mereka yang memandu dalam tempoh lama secara berterusan dari Lembah Klang atau negeri lain.

“Ketika musim cuti sekolah kebiasaannya ramai rakyat Malaysia, khususnya dari Lembah Klang atau dari Johor akan berkunjung ke beberapa lokasi di selatan Thailand seperti Hatyai dan Songkhla.

“Mereka akan memandu terus ke pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam dan memasuki Thailand untuk sampai ke destinasi masing-masing. Penting untuk mereka rancang perjalanan dan dapatkan rehat yang cukup agar tidak terbabit kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang hendak ke Thailand untuk mengambil perlindungan insurans penuh bagi mengelakkan sebarang risiko sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini di Thailand.

Beliau berkata terdapat empat jenis insurans yang perlu diambil ketika memandu kenderaan di Thailand iaitu Insurans Wajib (CI), Insurans Perjalanan (TI), Insurans Sukarela (VI) dan "Extension 101 Insurance" (E101).

“Sebaik-baiknya ambil perlindungan insurans penuh agar dapat memberi perlindungan menyeluruh tanpa perlu mengeluarkan belanja dan kerugian besar sekiranya berlaku kemalangan.

“Ada banyak kes rakyat Malaysia yang mengambil perlindungan insurans asas sahaja sebab mahu berjimat tetapi akhirnya terpaksa mengeluarkan belanja hingga puluhan ribu ringgit untuk membayar kos hospital atau ganti rugi apabila berlaku kemalangan,” katanya yang sudah 20 tahun terbabit menyediakan pakej insurans ke Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan