ALOR GAJAH, 7 Feb (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI @ Pasar yang menawarkan 10 hingga 30 peratus potongan harga lebih rendah daripada pasaran akan diperluas ke pasar awam lain di Melaka untuk memastikan lebih ramai pengguna mendapat manfaat.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Norena Jaafar berkata program di Pasar Awam Masjid Tanah hari ini adalah yang pertama dilaksanakan di Melaka dan kedua di Malaysia selepas Pasar Besar Kuala Berang, Terengganu yang dilancarkan pada 17 Jan lepas.
"Buat masa ini kita akan melihat situasi pelaksanaannya di pasar terbabit untuk melihat sambutan dan permintaan masyarakat setempat sebelum diperluas ke pasar awam lain terutamanya di kawasan luar bandar.
"Usaha melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI @ Pasar ini untuk mengimbangkan kos sara hidup dengan tawaran harga yang mampu milik selain merancakkan ekonomi sektor peruncitan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Program Jualan Rahmah MADANI @ Pasar di Pasar Awam Masjid Tanah yang disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan turut dihadiri Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDN Datuk Rohaizi Bahari.
Mengulas lanjut, Norena berkata program itu mendapat penyertaan tujuh peniaga dengan tawaran sebanyak 34 jenis barang keperluan harian seperti ayam standard, daging segar, ikan dan sayur-sayuran.
"Setakat pelaksanaannya hari ini, kita telah menerima maklum balas positif daripada peniaga dan pengguna yang hadir bagi mendapatkan barangan keperluan sejak pukul 6.30 pagi tadi.
"Seperti contoh, ayam standard lazimnya ditawarkan pada harga RM10.30 sekilogram (kg), tetapi pada hari ini dijual sebanyak RM7.30 per kg dan penjual juga memaklumkan jualan mereka hari ini mencecah lebih satu tan ayam, iaitu lebih banyak daripada kebiasaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata bersempena dengan Ramadan yang bakal menjelang, KPDN Melaka juga akan menganjurkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di tiga lokasi terpilih di setiap daerah.
Beliau berkata antara lokasi itu ialah BRR Alor Gajah, BRR Duyong dan BRR Jasin Bestari dengan melibatkan keseluruhan sebanyak 100 peniaga yang menawarkan menu makanan Rahmah RM5 dan bermula pada 1 Ramadan nanti.
"Antara lain turut diadakan ialah Program Jualan Rahmah MADANI Mantai Ramadan di Pantai Kundor dan Asahan sebelum tiba 1 Ramadan dan Program Jualan Rahmah MADANI Mantai Syawal sebagai persediaan menyambut Aidilfitri," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial