KUALA LUMPUR, Feb 7 (Bernama) -- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan agar memberi tumpuan kepada penambahbaikan kepada terma perkhidmatan dan imbuhan jururawat berbanding melonggarkan syarat kemasukan ke program diploma kejururawatan untuk menangani kekurangan petugas berkenaan di negara ini.
Presiden MMA Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira mengakui kepentingan menyelesaikan isu itu, namun menekankan keperluan untuk mengekalkan standard penjagaan kesihatan Malaysia yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
Beliau menggesa pengawal selia untuk menilai keputusan terbabit yang akan berkuat kuasa dalam tempoh dua tahun akan datang, dan memastikan semua pilihan lain telah dipertimbangkan.
"Jururawat ialah ahli penting dalam pasukan penjagaan kesihatan, bekerja bersama-sama doktor dan dipercayai untuk memainkan peranan penting dalam penjagaan pesakit.
"Daripada melonggarkan syarat kemasukan, kami amat percaya bahawa usaha ini harus ditumpu kepada menambah baik terma perkhidmatan dan pekerjaan jururawat. Hal ini termasuk imbuhan lebih baik, waktu kerja yang munasabah serta peluang pembangunan kerjaya yang bukan hanya untuk menarik lebih ramai pelajar kejururawatan, tetapi juga mengekalkan bakat dalam profesion ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Persatuan itu turut mencadangkan supaya kerajaan menawarkan insentif kepada jururawat yang telah lama berkhidmat untuk mengekalkan profesional berpengalaman dalam bidang ini.
MMA juga mengesyorkan agar pengambilan pelajar kejururawatan di institusi awam ditingkatkan bagi menangani kekurangan sambil mengekalkan kualiti kejururawatan.
"Kita harus menangani punca utama kekurangan jururawat di negara ini. Seperti pengambilan untuk institusi perubatan tempatan, bilangan jururawat yang dilahirkan semakin berkurang berikutan penurunan pendaftaran di sekolah kejururawatan. Kekurangan ini akhirnya akan memberi kesan kepada sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta," katanya.
Dr Kalwinder berkata peningkatan pelajar yang memilih kerjaya dalam bidang teknologi digital juga menyebabkan penurunan kemasukan ke kursus penjagaan kesihatan, justeru kerajaan perlu meningkatkan syarat perkhidmatan, imbuhan dan laluan kerjaya dalam bidang kejururawatan.
"Apa jua langkah penyelesaian yang sedang diambil atau dirancang untuk menangani kekurangan, pada masa yang sama harus sentiasa berusaha untuk mengekalkan standard profesion itu sepanjang masa," katanya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan rancangan untuk melonggarkan syarat kemasukan ke program kejururawatan bagi menangani kekurangan petugas itu di seluruh negara. Kriteria baharu itu akan terpakai hanya kepada pelajar yang mendaftar bagi pengambilan 2025 dan 2026.
Di bawah syarat sebelum ini, calon memerlukan lima kepujian dalam Sijil Pelajaran Malaysia, termasuk Bahasa Melayu, Matematik dan satu subjek Sains, serta lulus dalam Bahasa Inggeris manakala syarat baharu, pemohon perlu kredit bagi Bahasa Melayu, Matematik dan satu mata pelajaran Sains serta lulus dalam dua subjek tambahan termasuk Bahasa Inggeris.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial