JENAYAH & MAHKAMAH

Ibu Zayn Rayyan Jerit "Ini Salah Mommy"- Saksi

07/02/2025 06:02 PM

PETALING JAYA, 7 Feb (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menjerit, "Zayn, ini salah mommy", semasa guru kelas kanak-kanak autistik itu bersama pihak sekolah menziarahi keluarga berkenaan di Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai selepas dimaklumkan tentang kehilangan kanak-kanak terbabit.

Siti Aminah Nor Mad Ali, 40, guru kelas pendidikan khas kepada Zayn Rayyan berkata Ismanira Abdul Manaf mengungkapkan kata-kata itu semasa mereka menziarahi keluarga kanak-kanak berkenaan, sehari selepas dia dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata pada 4 petang, 5 Dis 2023, beliau telah dimaklumkan oleh ibu bapa daripada kelasnya mengenai kehilangan Zayn Rayyan.

Pada mulanya beliau beranggapan perkara itu tidak serius dan mungkin Zayn Rayyan akan dijumpai semula, namun pihak sekolah memaklumkan bahawa kanak-kanak itu masih belum ditemukan.

"Keesokannya (6 Dis 2023), saya bersama guru besar dan penolong kanan sekolah pergi ke rumah Puan Isma (Ismanira) untuk memberi sokongan serta memberi semangat kepadanya. Nenek (Zayn Rayyan) yang turut berada di rumah itu cuba menenangkan Puan Isma kerana dia kelihatan seperti trauma serta tidak mahu makan dan minum.

"Tiba-tiba saya dengar Isma macam menjerit cakap 'Zayn, ini salah mommy'. Saya dan guru besar berasa terkejut, tetapi saya anggap mungkin sebab dia terlalu sedih," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Aqharie Durranie Aziz pada hari kelima perbicaraan kes pengabaian dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik itu Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira.

Menceritakan kejadian pada 5 Dis 2023, Siti Aminah berkata pada masa itu ibu Zayn Rayyan tiba agak lewat ke sekolah, iaitu pada 12.05 tengah hari dengan menaiki motosikal untuk mengambil anaknya.

"Ketika ibu Zayn sampai di sekolah, saya melihat sendiri Zayn naik motosikal bersama ibunya dan kemudian berlalu pergi. Sebelum itu saya ada menegur Zayn kerana kali pertama saya nampak dia naik sendiri motosikal tanpa bantuan sesiapa. 

"Saya masih ingat pembantu saya menegur dan bertanya kepada ibunya, puan beli topi keledar Zayn di mana sebab topi keledar Zayn kelihatan menarik," katanya dan menambah ibu Zayn Rayyan tidak pernah lewat mengambil anaknya sebelum kejadian itu (5 Dis).

Disoal Aqharie Durranie siapa yang selalu menghantar Zayn Rayyan ke sekolah sejak Mac hingga Dis 2023, saksi menjawab, “Sepanjang pengetahuan saya, ibu dia (Zayn Rayyan) akan hantar dan ambil dia. Saya hanya pernah lihat sekali sahaja ayah dia mengambil Zayn, itu pun bersama ibunya.”

Menceritakan mengenai perwatakan Zayn Rayyan, guru itu berkata kanak-kanak autistik berkenaan tidak mempunyai banyak kerenah dan pasif serta tidak bergitu aktif, namun dia masih boleh mendengar arahan mudah jika diberikan selain tidak pernah menyakiti kawan-kawan sekelasnya.

"Sepanjang Zayn di sekolah, dia tidak pernah menunjukkan perangai aktif, seperti berlari atau mengetuk dinding macam murid lain atau menyakiti kawan lain, gigit serta pukul kawan. Zayn akan duduk di satu sudut.

"Kalau dia (Zayn Rayyan) hendakkan sesuatu dia akan tarik tangan saya. Contohnya, kalau dia nak makan dia tidak akan ambil terus makanan itu, dia akan menarik tangan saya dan menunjukkan makanan yang diinginkan," katanya yang turut memaklumkan Zayn Rayyan mempunyai "dunia sendiri", namun dia tetap bermain jika diajak rakan sekelasnya.

Siti Aminah berkata Zayn Rayyan juga tidak akan memberikan respons dengan cara bercakap, sebaliknya melalui perbuatan kerana kanak-kanak itu berinteraksi secara komunikasi bukan lisan.

Menjawab soalan peguam Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan suami isteri itu, Siti Aminah mengakui Zayn Rayyan tidak pernah memberi gambaran seolah-olah dia telah diabaikan keluarganya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung petang ini.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan