BENTONG, 7 Feb (Bernama) – Seorang pengawal keselamatan bersyukur tindakan pantasnya berlari ke arah helikopter yang terbakar ketika mendarat untuk mengisi minyak di Bentong semalam berjaya menyelamatkan nyawa juruterbang pesawat berkenaan.
Muhammad Solehhin Zainal Ariffin, 38, yang baru sebulan lebih bekerja sebagai pengawal di tapak pendaratan terbabit berkata cuaca agak baik ketika beliau bertugas pada hari kejadian bersama seorang lagi rakan sekerja.
“Tapak pendaratan itu digunakan oleh helikopter milik syarikat saya bekerja untuk mengisi minyak dan saya memang akan keluar dari balai pengawal bagi memastikan kawasan itu selamat ketika ia dilakukan.
“Pada mulanya semuanya nampak baik tapi apabila helikopter sudah rendah dan hendak mendarat tiba-tiba ia terbalik, menyebabkan bilah utamanya terkena seorang petugas yang berada di tapak pendaratan menyebabkan petugas itu terpelanting dan helikopter mula terbakar,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Lelaki itu berkata beliau terus berlari ke arah bahagian hadapan helikopter dan mendapati juruterbang pesawat itu berada dalam keadaan terkejut sebelum segera menariknya ke tempat selamat dalam keadaan api sudah marak.
“Ketika menarik mangsa keluar, memang saya terasa bahang yang amat panas tapi saya tarik juga kerana dapati dia masih hidup dan saya juga menganggapnya sebagai rakan kerana sudah mengenalinya sejak beberapa minggu lepas.
“Saya sempat meninjau mangsa yang terkena bilah kipas helikopter sebelum menghubungi semua nombor telefon seperti yang telah diberitahu kepada saya sebelum ini jika insiden kecemasan berlaku,” katanya.
Semalam, media melaporkan mangsa yang maut dikenali sebagai Finsen Reskey Sembiring, 27, merupakan seorang jurutera manakala juruterbang yang terselamat dikenali sebagai Kustiyadi, 44, kedua-duanya warga Indonesia.
Muhammad Solehhin berkata beliau mengenali kedua-dua individu itu sejak beberapa minggu lepas ketika mereka mula menjalankan kerja bagi projek di kawasan itu dan kerap berbual apabila mereka berehat di tapak pendaratan itu.
“Saya seronok berbual dengan mereka hampir setiap hari kerana mereka menceritakan banyak perkara termasuk mengenai helikopter. Finsen, mangsa yang maut itu pula pernah beritahu saya jika seseorang terkena libasan kipas helikopter, tiada harapan untuk selamat, saya sedih dan tak sangka ia terjadi kepada dia,” katanya.
Helikopter jenis Bell 206L4 itu dilaporkan terbakar ketika mendarat untuk mengisi minyak di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur, Bentong dalam kejadian pada 10.20 pagi semalam.
Polis mengesahkan bedah siasat mangsa yang maut selesai 3 petang tadi manakala siasatan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan turut dijangka siap hari ini.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial