EKONOMI

AI Ubah Pengauditan Melalui Cerapan Masa Nyata, Unjuran Risiko Masa Depan

07/02/2025 07:04 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

CYBERJAYA, 7 Feb (Bernama) -- Masa depan pengauditan dijangka mengalami perubahan besar menerusi penyatuan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan penilaian risiko masa nyata serta cerapan unjuran melebihi kaedah tradisional, kata Pengasas Bersama Audrey South Africa, Claude Chetty.

Beliau berkata masa depan pengauditan secara asasnya berubah melalui AI apabila organisasi tidak perlu lagi bergantung pada set data sejarah semata-mata.

“Pengauditan pada masa kini mengunjurkan dan menyediakan penilaian risiko serta jaminan mengenai isu semasa sambil menawarkan pandangan jauh ke atas kemungkinan risiko pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyampaikan ceramah bertajuk “Revolusi AI dalam Pengauditan” yang dianjurkan oleh Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) di sini hari ini.

Chetty berkata AI membolehkan juruaudit mengalihkan tumpuan daripada tugas biasa kepada peranan penasihat yang lebih strategik.

“Biarkan AI melakukan tugas berat dan biarkan juruaudit menumpukan perhatian untuk memberikan pandangan yang bernilai. Ini bermakna audit boleh dilakukan dengan lebih cepat serta lebih berkesan dengan panduan yang lebih baik sepanjang proses,” tegasnya.

Audrey merupakan platform audit robotik dikuasakan AI yang direka untuk merevolusikan proses pengauditan tradisional dengan menyediakan cerapan masa nyata, liputan komprehensif dan keupayaan unjuran yang canggih.

Dengan memanfaatkan algoritma AI, ia memproses sejumlah besar data untuk menyampaikan cerapan yang boleh diambil tindakan selain dengan ketara mengurangkan kesilapan manusia dan meningkatkan ketepatan audit.

 

Era Baharu dalam Teknologi Audit

 

Menjelaskan bagaimana Audrey berbeza daripada alat audit tradisional dan platform dikuasakan AI yang lain, Chetty menggambarkannya sebagai platform jaminan hujung ke hujung dengan AI tertanam secara mendalam di seluruh strukturnya.

"Berbeza dengan alat lain yang menggunakan AI sebagai ciri semata-mata, komponen AI Audrey menyeluruh dan intuitif. Ia bukan kod tetap seperti produk lain, yang bermaksud Audrey sentiasa belajar dan menyesuaikan diri.

"Bergantung pada landskap data anda, ia boleh menjadi semudah menghidupkannya dan membenarkannya menyambung ke pangkalan data anda. Sistem tradisional memerlukan proses integrasi data yang panjang, tetapi Audrey boleh memberikan hasil segera, menjimatkan masa dan wang," katanya.

Beliau berkata pendekatan Audrey terhadap teknologi dengan menghapuskan keperluan bagi bayaran integrasi yang mahal.

Bercakap mengenai kebimbangan tentang keselamatan dan kerahsiaan data, Chetty memberi jaminan iaitu Audrey tidak pernah menyimpan data pelanggan selain beroperasi secara ketat sebagai platform untuk membantu perniagaan memperoleh cerapan daripada set data mereka sendiri.

"Audrey menghormati data sulit dan mempunyai pelbagai lapisan perlindungan termasuk penyulitan (encryption) dan tembok api (firewalls). Data tidak akan pernah meninggalkan lokasi yang anda tentukan, sama ada ia adalah pelayan di premis untuk agensi kerajaan atau pusat data tertentu," jelasnya.

 

Peluang di Malaysia 

 

Chetty menyatakan minat yang mendalam untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan Malaysia dan sektor swasta selain mengenal pasti tiga industri utama yang boleh mendapat manfaat daripada Audrey iaitu agensi kerajaan, perbankan dan firma audit peringkat dua.

"Kami percaya agensi kerajaan boleh melangkah lebih maju dalam revolusi data dan AI dengan Audrey. Dalam perbankan, Audrey terbukti berkesan dalam persekitaran yang sangat terkawal. Bagi firma audit peringkat dua, Audrey menyamakan kedudukan serta memperkasakan firma-firma kecil untuk bersaing dengan gergasi industri," katanya.

Chetty turut mendedahkan perbincangan sedang dijalankan dengan sektor pensijilan halal Malaysia.

"Pematuhan adalah penting untuk pihak berkuasa pensijilan dan Audrey boleh memastikan pematuhan berterusan, bukan hanya pada peringkat permulaan," katanya.

Beliau juga menekankan jejak antarabangsa Audrey yang semakin berkembang terutamanya di Afrika Selatan apabila platform ini sudah digunakan oleh agensi kerajaan dan bank-bank swasta.

"Kami melancarkan Audrey pada penghujung Oktober dan melalui perbincangan dengan bekas diplomat Malaysia di Afrika Selatan, kami melihat potensi untuk berkembang ke Malaysia dan menggunakannya sebagai titik pusat untuk Asia dan Timur Tengah," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, MIGHT berkata tugas Audrey dalam AI untuk pengauditan menunjukkan bagaimana AI boleh merevolusikan kualiti dan kecekapan audit dengan menyediakan cerapan masa nyata, penilaian risiko unjuran dan memperkemas proses.

"Seiring dengan itu, MIGHT iaitu badan pemikir berasaskan kerjasama yang memberi tumpuan pada teknologi tinggi, menyasarkan untuk memupuk lebih banyak penyelidikan, kerjasama dan penciptaan bersama bagi mendorong inovasi serta meningkatkan penyelesaian audit di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan