DUNIA

Bekas Menteri Pengangkutan Singapura Iswaran Ditahan Di Rumah

07/02/2025 10:38 PM

(mengolah para 5)

 

SINGAPURA, 7 Feb (Bernama) -- Bekas Menteri Pengangkutan Singapura S. Iswaran diletakkan dalam skim tahanan rumah pada Jumaat, empat bulan selepas dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi, lapor media tempatan.

Iswaran, 62, dijatuhi hukuman pada 3 Okt 2024, selepas mengaku bersalah dan disabitkan dengan empat pertuduhan menerima barang berharga sebagai penjawat awam dan satu pertuduhan menghalang keadilan. Dia mula menjalani hukuman pada 7 Okt 2024.

Menjawab pertanyaan daripada The Straits Times (ST), Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) menyatakan bahawa Iswaran telah dinilai sebagai sesuai untuk ditempatkan dalam skim itu, kerana beliau dianggap berisiko rendah untuk melakukan kesalahan semula, tidak melakukan sebarang kesalahan institusi di penjara, dan mempunyai sokongan keluarga yang kuat.

"Iswaran layak untuk skim tahanan rumah," kata jurucakap SPS.

SPS menjelaskan bahawa banduan yang layak dipertimbangkan untuk ditempatkan dalam skim tahanan di rumah selepas menjalani sekurang-kurangnya 14 hari atau separuh daripada hukuman mereka, bergantung kepada mana yang lebih lama, selepas mengambil kira pengurangan hukuman, lapor ST.

"Mereka dinilai untuk kesesuaian skim tahanan rumah, dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti kelakuan, kemajuan, dan tindak balas mereka terhadap pemulihan semasa pemenjaraan," tambah jurucakap itu.

Iswaran seperti semua banduan dalam skim tahanan rumah, akan menjalani baki hukuman di kediamannya di bawah syarat-syarat tertentu, termasuk pemantauan perintah berkurung menggunakan alat pemantauan elektronik, terlibat dalam pekerjaan, pembelajaran atau latihan, serta melapor diri kepada SPS untuk sesi kaunseling.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan