KUCHING, 9 Feb (Bernama) -- Sejumlah 3,000 individu telah menerima manfaat menerusi program Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bergerak pada tahun lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kementeriannya menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) akan terus memperluas usaha tersebut di setiap negeri tahun ini.
“Kita sudah mula bawa program PSSS ini ke hospital, dan dalam masa sejam selepas PSSS dibuka, seramai 96 pegawai dan kakitangan hospital telah datang. Mungkin mereka lebih selesa untuk berjumpa dengan kaunselor kita, dan ini menunjukkan bahawa perkhidmatan seperti ini sangat diperlukan di situ," katanya dalam sidang media selepas program PSSS dan sumbangan Kembali Ke Sekolah 2025 di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa masalah kesihatan mental kini tidak hanya melibatkan golongan dewasa, tetapi turut memberi kesan kepada pelajar sekolah yang mengalami tekanan akibat masalah keluarga, pembelajaran, atau persekitaran.
“Kita tidak mahu masalah seperti mengelar tangan dan isu kesihatan mental menjadi sesuatu yang dianggap normal dalam kalangan pelajar dan masyarakat. Oleh itu, kami akan terus bertindak dan membantu mereka dengan menganjurkan program-program bersama seperti ini,” kata Nancy.
PSSS merupakan program anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang menawarkan perkhidmatan psikososial holistik kepada masyarakat seperti sesi bimbingan dan kaunseling.
Terdahulu, Nancy memberi sumbangan kepada 460 murid sekolah dari kawasan Parlimennya, Santubong dan sekitar Kuching.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial