AM

FAMA Kelantan Sumbang 296 Pokok Bangunkan Agro Educare Kepada Anak Istimewa

10/02/2025 12:08 AM

KOTA BHARU, 9 Feb (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan menyumbangkan sebanyak 296 pelbagai jenis anak pokok untuk membangunkan Agro Educare sebagai pusat rujukan pertanian kepada kanak-kanak istimewa.

Antara jenis tanaman yang diberikan ialah jambu madu, mangga air bunga, longan mas, belimbing madu, limau bali dan bunga ixora.

Pengarah FAMA Kelantan Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata projek ini dijalankan melalui kerjasama strategik antara lembaga itu dengan Bizara Educare Centre untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak istimewa mengenai asas pertanian dan florikultur.

"Taman Famazara ini bertujuan membantu perkembangan kanak-kanak istimewa bagi pembelajaran di luar bilik darjah yang akan melihat proses penanaman, penuaian dan sebagainya.

"Pada masa yang sama, kita juga turut mempromosikan produk buah-buahan tempatan, mengenai nutrisi dan kelebihannya khusus untuk perkembangan mereka. Saya harap taman Famazara ini dapat memberi pendedahan yang positif kepada mereka terutama berkaitan dengan pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Famazara Agro Educare di Kampung Telok Panji, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengasas Bizara Educare Centre Wan Zakaria Wan Abu Bakar.

Wan Zakaria berkata taman Famazara ini dibangunkan di kawasan seluas 0.03 hektar untuk memberi kaedah terapi alam kepada kanak-kanak istimewa dari segi emosi, tingkah laku dan semangat kerana keberkesanannya sangat luar biasa, malah modul pembelajaran serta latihan yang diterapkan adalah berasaskan pertanian.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan