AM

MHO Minta Polis Siasat Skim Pelaburan Mesin Layan Diri Sebabkan Kerugian RM5.2 Juta

09/02/2025 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa polis menjalankan siasatan terhadap skim pelaburan mesin layan diri disyaki tidak wujud yang menyebabkan 54 individu mengalami kerugian hampir RM5.2 juta.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata kebanyakan mangsa mengenali skim berkenaan melalui laman sosial dan rakan mereka, sebelum membuat pelaburan antara RM1,000 hingga RM450,000 seorang.

Beliau berkata syarikat terbabit yang berpangkalan di Johor Bahru dan mempunyai beberapa cawangan antaranya di Seri Kembangan, Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak itu menawarkan tiga pakej pelaburan kepada mangsa.

"Pakej A adalah membeli mesin layan diri dengan harga RM30,000 dan akan menerima pulangan RM1,300 setiap bulan, pakej B iaitu pelaburan RM25,000 manakala pakej C pula mangsa hanya perlu membayar minimum RM1,000 dan dijanjikan pulangan empat peratus setiap bulan.

“Namun, sehingga kini mangsa yang memilih pakej A masih belum menerima mesin layan diri seperti dijanjikan selain pihak syarikat memberikan pelbagai alasan antaranya mesin terbabit masih berada di China dan syarikat mempunyai masalah kewangan,” katanya dalam sidang media bersama mangsa di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa telah membuat laporan polis setelah merasakan telah ditipu oleh syarikat berkenaan.

Pada sidang media sama, sepasang suami isteri yang bekerja sebagai pekerja pembersihan menjadi antara mangsa skim berkenaan hingga sanggup mengeluarkan simpanan sebanyak RM80,000. 

Mangsa berusia 60 tahun itu berkata, dia dan suami, 65, yang mempunyai lima anak menyertai skim pelaburan pembelian mesin layan diri itu untuk menambah pendapatan setelah kehilangan kerja sebagai pencuci sejak beberapa tahun lepas.

“Saya dan suami menggunakan wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyertai pakej ditawarkan dan telah menerima pulangan keseluruhan RM25,000. Bagaimanapun, sejak Ogos lepas bayaran bulanan tidak lagi diperoleh,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dengan lima kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian RM192,250.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan