KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluluskan bantuan tunai RM200 kepada 300 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di Kuantan, Pahang bagi meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan sekolah.
Bantuan tunai itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam Program Back to School 2025 di Tunas Manja Group Mall, Kuantan, Ahad lepas.
“Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM800 juta bagi inisiatif Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada semua pelajar sekolah di seluruh negara.
“Ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI amat menitikberatkan pendidikan dan mahu generasi hadapan tidak tercicir dalam bidang pendidikan,” kata Ahmad Farhan dalam hantaran di Facebook hari ini, yang turut dikongsikan oleh Perdana Menteri.
Agihan BAP sebanyak RM150 untuk murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2024/2025, telah diagihkan pada 12 Jan lepas, manakala untuk pelajar Tingkatan 6 semester 2 dan murid Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 pada 16 Feb ini.
Agihan BAP untuk pelajar Tingkatan 6 baharu pula akan bermula 1 Julai ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial