KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Penganjuran Acara Padanan Perniagaan Produk Perindustrian Thailand-Malaysia pada 10-12 Feb, 2025 di Imperial Lexis Kuala Lumpur di sini, dijangka menjana dagangan bernilai 120 juta baht (100 Baht=RM13.18).
Acara anjuran Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa (DITP) Kementerian Perdagangan Thailand itu mengetengahkan sektor utama seperti jentera, automotif, elektronik, bekalan perubatan dan bahan binaan.
Wakil Perdagangan Thailand Umes Pandey mengetuai acara tiga hari itu yang turut disertai Menteri Kaunselor (Komersial) dan Pengarah DITP Malaysia, Worawan Wanwil.
Misi perdagangan Umes itu turut disokong oleh Perdana Menteri Thailand Paethongtarn Shinawatra yang menetapkan sasaran mencapai US$30 bilion dalam perdagangan dua hala Thailand-Malaysia menjelang 2027.
Worawan berkata acara itu menjadi platform penting bagi perniagaan Thailand dan Malaysia untuk meneroka potensi kerjasama selain bertukar-tukar pengetahuan dalam bidang penting pertumbuhan industri.
“Kita sedang mewujudkan asas kukuh untuk pertumbuhan dan kerjasama yang berterusan menerusi langkah memudahcara perbincangan peringkat tinggi dan menyelaras matlamat perniagaan dengan strategi kerajaan.
“Acara ini akan menjadi titik perubahan dalam meningkatkan eksport Thailand ke Malaysia selain dapat menjana peluang baharu untuk perniagaan Thailand," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sesi padanan perniagaan itu akan memudahcara 70 padanan yang dirancang awal dan lebih 30 padanan perniagaan secara terus atau ‘walk-in’ pada 10 Feb, 2025, sekali gus mewujudkan lebih 100 peluang berpotensi melibatkan kedua-dua negara.
Selain itu, acara berkenaan akan membolehkan peserta atau delegasi meninjau kerjasama strategik dalam industri berat dan mengukuhkan lagi peranan Thailand dalam rantaian bekalan ASEAN.
Usaha mengumpulkan pemimpin perniagaan dan kerajaan dalam platform sama juga membolehkan acara itu mengubah hubungan dagangan selain membuka jalan bagi era pertumbuhan baharu Thailand-Malaysia.
Acara sampingan termasuk kunjungan delegasi ke Sunway Multicare Pharmacy, Ecolife Medicare di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia selain HomePro Malaysia serta meninjau hab automotif di Jalan Ipoh dan Segambut di ibu negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial