SUKAN

KBS Sedia Pertimbang Beri Dana Tambahan Bantu Aruwin - Hannah

13/02/2025 01:46 PM

SUBANG JAYA, 13 Feb (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mempertimbangkan untuk memberikan dana tambahan kepada atlet peluncur Alpine negara Aruwin Salehhuddin susulan prestasi cemerlang di Sukan Musim Sejuk Asia Kesembilan di Harbin, China.

Menterinya Hannah Yeoh bagaimanapun berkata ia tertakluk kepada bajet khas dimiliki Majlis Sukan Negara (MSN) yang diberikan Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini.

“Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah meminta pertimbangan MSN untuk lihat kalau boleh tambahan dana kerana beliau (Aruwin) sudah (meraih tempat) keempat dan mungkin dengan lebih banyak sokongan beliau boleh dapat podium.

“MSN sedang mempertimbangkan perkara itu kerana bajet kita bukan ‘bottomless’ kerana ia ditentukan setiap tahun oleh MOF. Jadi kita kena mempertimbangkan betul-betul dan buat perancangan kerana seperti tahun lepas, bajet khas kita memang kita bagi keutamaan untuk bayar (caruman) EPF semua atlet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Siri Golf Amatur Kebangsaan di Kelab Golf Saujana di sini hari ini.

Sebelum ini, MOM memaklumkan pihaknya bersedia membantu Aruwin bagi mendapatkan dana dalam usahanya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 dan Sukan Musim Sejuk Asia 2029.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata pencapaian Aruwin di Harbin membuktikan negara mempunyai potensi besar dalam sukan berkenaan apabila atlet itu mampu memberi saingan sehingga hampir menghasilkan pingat.

Sabtu lepas, Aruwin hampir memenangi gangsa acara slalom menerusi catatan masa satu minit dan 36.74 saat (s) namun terpaksa akur di tangga keempat selepas dibezakan hanya 1.82s oleh wakil Jepun Eren Watanabe (1:34.96s).

Emas dimenangi rakan senegara Eren, Chisaki Maeda (1:33.50s) manakala perak disambar wakil Korea Selatan Gim Sohui (1:34.06s).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan