KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Industri gas perlu mengatasi cabaran terutama dalam mendapatkan akses kepada pembiayaan, di samping beralih ke arah tenaga yang lebih bersih dan mampan.
Presiden Persatuan Gas Malaysia (MGA) Abdul Aziz Othman berkata kos tinggi yang dikaitkan dengan peralihan tenaga -- terutama untuk teknologi seperti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta pemodenan infrastruktur, memerlukan penyelesaian pembiayaan yang inovatif.
“Melalui tindakan bersama melibatkan kalangan penggubal dasar dan pakar industri, kami berharap dapat menjadikan industri gas sebagai industri kalis masa hadapan dengan mengambil langkah yang diperlukan untuk memastikan kemampanan dan daya tahannya dalam merealisasikan peralihan tenaga yang bertanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di Simposium Gas Malaysia (MyGAS) 2025 di sini, Khamis.
Beliau berkata MyGAS 2025 yang bertemakan “Fuelling a Sustainable Gas Industry's Transition” menekankan peranan penting gas dalam memastikan jaminan tenaga di samping menyokong usaha penyahkarbonan Malaysia dan mempercepat peralihan tenaga kepada pelepasan sifar bersih 2050.
Sebagai ekonomi sedang pesat membangun seperti Malaysia serta negara setara di rantau ini yang amat bergantung kepada gas asli, yang telah dikenal pasti untuk pertumbuhan sosioekonomi, justeru, mendapatkan pembiayaan untuk projek berkaitan gas di sepanjang rantaian nilai adalah sangat penting, katanya.
“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menjelaskan bahawa permintaan terhadap gas asli dijangka meningkat daripada 43 peratus (41 juta tan bersamaan minyak atau mtoe) kepada 56 peratus (57 mtoe) menjelang 2050.
“Menerusi usaha demikian, kita bercakap mengenai projek sebenar yang memerlukan pembiayaan yang sebenar,” katanya.
Abdul Aziz berkata pada masa sama, permintaan elektrik Malaysia dijangka meningkat sekali ganda menjelang 2040, didorong oleh pertumbuhan ekonomi, pengembangan industri dan sektor berintensif tenaga seperti pusat data yang memerlukan sekitar 20.9 gigawatt tenaga elektrik.
Beliau berkata Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Semenanjung 2024-2050 telah menggariskan hala tuju untuk memenuhi permintaan itu dengan membangunkan kapasiti penjanaan baharu, menyeimbangkan tenaga dijana gas dan sumber tenaga rendah karbon.
Selain itu, bahagian arang batu dalam penjanaan elektrik dijangka berkurangan daripada 46 peratus pada hari ini kepada 36 peratus menjelang 2033, susut pada kadar tahunan sebanyak 1.7 peratus bagi tempoh antara 2029 hingga 2033.
“Pengurangan ini akan diimbangi oleh pertumbuhan tenaga dijana gas, yang akan berkembang pada kadar purata tahunan 3.8 peratus sepanjang dekad akan datang, menjadi sumber tenaga terbesar Malaysia menjelang 2031 dan menyumbang 41 peratus kepada campuran tenaga menjelang 2033," katanya.
Abdul Aziz berkata walaupun industri ini menyasarkan matlamat yang tinggi, namun penting untuk melakukan usaha peralihan dengan pemikiran yang realistik.
Ekosistem itu secara keseluruhannya perlu dilengkapi dan disediakan untuk bergerak ke arah laluan yang betul.
Simposium itu diadakan setiap dua tahun sejak penubuhannya pada 2019, dan telah menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri, dan pihak berkepentingan untuk membincangkan masa depan gas asli dan peranannya dalam peralihan tenaga global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial