KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Kereta berhias yang menampilkan keunikan budaya pelbagai kaum bakal menjadi tarikan utama pada Program Perarakan Harmoni 2025 yang akan berlangsung di Dataran Merdeka pada 15 dan 16 Feb ini bermula 9 malam.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu akan melibatkan perarakan kereta berhias diiringi 600 peserta terdiri daripada 10 kumpulan kaum seperti Melayu, India, Cina, Sabah, Sarawak, Orang Asli, Baba & Nyonya, Siam, Chetti dan Jawa.
KPN menyatakan peserta akan membuat persembahan kebudayaan dan memainkan alat muzik sepanjang perarakan yang akan bergerak sejauh 1.6 kilometer bermula dari Dataran Merdeka melalui Jalan Raja, Jalan Tunku Abdul Rahman seterusnya kembali ke Dataran Merdeka.
"Kementerian Perpaduan Negara ingin menjemput orang ramai turut hadir bagi sama-sama memeriahkan Perarakan Harmoni dan melihat sendiri keunikan kereta berhias yang akan dipamerkan dan menikmati alunan muzik, tarian serta persembahan daripada pelbagai kaum di Malaysia," katanya.
Perarakan berkenaan merupakan program baharu diperkenalkan KPN untuk memperkukuh perpaduan dan keharmonian dengan menonjolkan kepelbagaian etnik, keunikan budaya serta kekayaan warisan masyarakat di Malaysia.
Ia juga sebahagian daripada pengisian sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2025 dan Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia yang kini dijenamakan sebagai Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Harmoni 2025.
Sementara itu, menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama berkata program itu dapat menjadi platform perpaduan masyarakat.
“Perpaduan dan kesatuan masyarakat adalah matlamat utama Kerajaan MADANI, maka dengan pelaksanaan program-program seperti ini dapat membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali kepelbagaian agama dan budaya di antara masyarakat, seterusnya membentuk masyarakat yang bersatu padu serta mengamalkan konsep Faham, Hormat dan Terima,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial