AM

Harga Lantai Padi RM1,500: Bukti Kerajaan Pusat Cakna Nasib Pesawah

13/02/2025 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Pelarasan harga lantai belian padi kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik yang diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini disifatkan pesawah di Perlis dan Kedah sebagai bukti Kerajaan Pusat cakna terhadap nasib mereka.

Di PERLIS, seorang pesawah dari Kampung Banat, Arau, Shahidan Ismail, 62, berkata harga lantai belian baharu itu juga adalah khabar baik bagi dirinya dan beliau menzahirkan rasa syukur lebih-lebih lagi selepas mengalami kerugian pada Disember tahun lepas akibat sawahnya dilanda banjir.

"Sawah yang saya usahakan seluas lima relung (kira-kira 1.5 hektar) ini terjejas akibat banjir dan saya mengalami kerugian lebih RM5,000, tetapi dengan pengumuman ini, sedikit sebanyak menyenangkan hati saya, terima kasih kepada kerajaan yang prihatin nasib kami golongan pesawah,” katanya kepada Bernama.

Pesawah dari Kampung Pulau Lincai, Arau, Nazari Basri, 41, turut berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin terhadap keluhan pesawah selama ini termasuk dirinya yang turut terkesan dengan kejadian banjir Disember tahun lepas.

Nazari berkata pengumuman itu sedikit sebanyak memberikan suntikan semangat kepadanya yang mengalami kerugian anggaran lebih RM2,000 selepas sawah diusahakannya seluas dua relung (kira-kira 0.6 hektar) rosak dalam kejadian banjir itu.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Perlis Razali Saad berkata kerajaan negeri menganggap harga lantai belian padi yang diumumkan adalah tindakan positif untuk membantu pesawah di Perlis dalam meringankan beban kos operasi mereka.

"Kerajaan umum RM1,500 pun dah bersyukur berbanding RM1,300 sebelum ini, yang baik kita puji. Alhamdulillah dan terima kasih kepada kerajaan, bagi saya ia bersifat positif, terlerai kemelut pesawah dengan harga lantai ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata 8,743 pesawah dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan 6,788 pesawah luar kawasan MADA di negeri itu bersyukur dengan langkah kerajaan menyelaras harga lantai belian padi itu.

Pada sesi penerangan menteri mengenai situasi semasa industri padi dan beras negara di Dewan Rakyat hari ini, Mohamad mengumumkan harga lantai belian padi akan diselaras daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa Ahad ini.

Mohamad turut memaklumkan harga beras putih tempatan dikekalkan pada kadar RM2.60 sekilogram (kg) dengan kerajaan menyerap sebahagian kos pengeluaran sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan.

Di ALOR SETAR, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) merakamkan penghargaan kepada kerajaan pusat di atas pengumuman berkenaan di Parlimen hari ini.

Pengerusinya Abdul Rashid Yob berkata tuntutan harga padi yang dibuat sebelum ini sememangnya berasas dan munasabah setelah mengambil kira kenaikan kos operasi dan kenaikan harga benih padi tahun lepas.

“Bagaimanapun kami juga mencadangkan agar insentif harga padi sebanyak RM300 diberikan kepada pesawah sebagai tambahan kepada harga lantai tersebut dan berharap agar harga kawalan benih padi sah diturunkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu seorang pesawah Hamdi Ahmad, 40, dari Sanglang dekat sini berkata, pelarasan harga lantai kepada RM1,500 bagi setiap metrik tan itu dapat mengurangkan beban pelbagai kos yang ditanggung pesawah ketika ini.

Bagi Mohd Shukor Mustafa, 41, dari Kodiang pula, pelarasan harga itu dapat menyuntik semangat golongan petani sepertinya untuk meningkatkan pengeluaran.

“Kami bersyukur dengan pelarasan harga lantai belian padi ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan