DUNIA

Pilihan Tepat Bagi China, Britain Perbanyak Dialog Dan Kerjasama - Wang Yi

14/02/2025 03:19 PM

LONDON, 14 Feb (Bernama-CMG) -- Memperbanyak dialog dan kerjasama merupakan pilihan tepat bagi China dan Britain, dan kedua-dua pihak dikehendaki mengambil tindakan yang tulen dalam pelbagai bidang bagi mewujudkan situasi baharu dalam hubungan dua hala pada permulaan tahun ini.

Demikian kata Menteri Luar China Wang Yi dalam Dialog Strategik China-Britain ke-10 dengan Setiausaha Luar, Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan Britain, David Lammy yang diadakan di sini pada Khamis.

Wang Yi berkata pertemuan antara Presiden China, Xi Jinping dengan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer pada 2024 berjaya menggariskan hala tuju yang jelas dan menyuntik momentum kepada penambahbaikan dan perkembangan hubungan bilateral.

“Tak payahlah menunggang isu-isu yang berkait perselisihan China dan Britain ekoran perbezaan kedua-dua negara dari segi sistem, sejarah dan kebudayaan.

“Apa yang penting adalah memperbanyak dialog dan komunikasi dengan sikap yang saling menghormati.

“China menyifatkan Britain sebagai rakan kongsi strategik yang penting dan bersedia untuk melaksanakan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, mengukuhkan trend perkembangan hubungan dua hala yang baik bagi merancang pertukaran peringkat tinggi untuk fasa seterusnya, " kata Wang.

Wang Yi berpendapat China dan Britain sebagai dua negara anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, perlu memikul tanggungjawab yang setimbal dengan status negara berkuasa besar, mengamalkan multilateralisme, menyokong perdagangan bebas, menggalakkan penyelesaian  isu  hangat melalui saluran politik, dan bersama-sama menggalakkan keamanan dan kestabilan dunia.

Wang Yi juga menghuraikan dengan terperinci pendirian China dalam isu seperti Taiwan dan Hong Kong. 

David Lammy pula menyatakan pihaknya komited untuk mengembangkan hubungan yang mampan dan kukuh dengan China untuk jangka masa yang panjang, bersedia mengukuhkan pertukaran dengan China pada peringkat tinggi, menjalankan dialog yang membina dan bertindak pantas melakukan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Kedua-dua pihak juga mencapai kata sepakat mengenai pelan hala tuju untuk pertukaran dua hala seterusnya, dan bersetuju untuk mengukuhkan pertukaran di pelbagai peringkat, memperdalam pertukaran sosiobudaya, meningkatkan persefahaman antara satu sama lain, dan terus menggalakkan peningkatan keberhasilan dalam pelaksanaan Perjanjian Paris yang dipercayai kondusif bagi transformasi hijau di negara masing-masing.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan