AM

Bekalan Air Di Beberapa Lokasi Di Hilir Perak Pulih 70 Peratus - Exco

15/02/2025 03:40 PM

IPOH, 15 Feb (Bernama) -- Status pemulihan bekalan air di beberapa lokasi sekitar daerah Hilir Perak susulan kebocoran paip bawah tanah milik Lembaga Air Perak (LAP) telah mencapai 70 peratus hari ini, berbanding 55 peratus yang direkodkan  semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata antara kawasan yang telah pulih secara berperingkat ialah Langkap, Chui Chak, Changkat Jong dan Air Hitam.

“Namun, catuan bekalan air di semua kawasan berkenaan masih dilakukan LAP bermula 12 tengah malam hingga 6 pagi. Keutamaan adalah untuk memenuhkan menara tangki air di kawasan perumahan di daerah itu terlebih dahulu kerana jumlah penduduk yang ramai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

LAP dalam kenyataan semalam memaklumkan gangguan bekalan air melibatkan Sungai Manik, Kampung Sungai Tok Sidin, Kampung Sungai Air Deras Langkap, Kampung Permatang Sungai Manik, Kampung Pengkalan Daun, Kampung Permatang Pelanduk, Kampung Orang Asli Redang Punggor, Taman KPJ, Taman Orkid, Jalan Bidor-Teluk Intan serta Kampung Changkat Jong.

Gangguan bekalan air itu berlaku sejak 6 Feb dan turut melibatkan daerah Batang Padang akibat kebocoran paip yang mengalirkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh bersebelahan Taman Bunga Raya, Tapah.

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata gangguan air di Tapah dan Bidor juga hampir pulih sepenuhnya, namun proses catuan masih dilakukan di beberapa lokasi yang bertujuan memberi keutamaan kepada penyaluran bekalan ke daerah Hilir Perak.

“Saya dimaklumkan ia disebabkan populasi penduduk yang lebih ramai serta jumlah menara tangki air yang banyak berbanding Tapah dan Bidor,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan terjejas supaya menggunakan air secara berhemat sehingga keadaan pulih sepenuhnya.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan