POLITIK

Jadikan Perjalanan Politik Parti Kongres India, LDP Jepun Sebagai Iktibar - Abang Jo 

15/02/2025 04:00 PM

KUCHING, 15 Feb (Bernama) -- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu mengambil iktibar daripada kemelut perjalanan politik Parti Kongres di India serta Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun.

Presiden PBB yang juga Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sebelum ini kedua-dua parti berkenaan ialah parti dominan di negara masing-masing namun kini berdepan isu sokongan rakyat.

Beliau berkata untuk kekal relevan, PBB yang ditubuhkan pada 30 April 1973 dan telah lebih 50 tahun menerajui Kerajaan Negeri Sarawak harus sentiasa bersifat terbuka kepada sebarang perubahan.

“Kita (PBB) mempunyai banyak rujukan dalam persoalan relevan ini, parti yang hayatnya panjang tetapi kepercayaan luntur seperti Parti Kongres dan LDP.

“Parti itu berdepan cabaran kebolehpercayaan dan kepercayaan semakin luntur yang memberi kesan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung ke-16 PBB di sini hari ini.

Abang Johari berkata selain faktor sokongan yang menyebabkan sesuatu parti hilang dominasi, faktor dalaman parti juga penting dalam menentukan kelangsungan parti.

“Syukur di dalam PBB sudah ada budaya antara pemimpin sayap Pesaka dan Bumiputera yang telah wujud sekian lama. Sebab itu pemimpin-pemimpin muda PBB perlu faham budaya ini, mereka perlu faham bahawa kestabilan politik penting,” katanya.

PBB terbahagi kepada dua sayap iaitu sayap Bumiputera yang terdiri daripada Melayu/Melanau manakala sayap Pesaka terdiri kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Seramai lebih 4,000 perwakilan menghadiri perhimpunan agung itu yang berlangsung dari 14 hingga 16 Feb ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan