KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad Muhammad Basir Abu Bakar yang meninggal dunia petang tadi akibat masalah kesihatan kronik.
Fahmi menerusi hantaran di Facebook turut mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarham tabah dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi kehilangan itu.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata beliau pernah menziarahi Muhammad Basir yang merupakan penerima pertama bantuan Tabung Kasih@HAWANA sejak tabung itu diperkenalkan bagi membantu pengamal media yang memerlukan.
“Saya baru saja menerima khabar dukacita pemergian seorang bekas pengamal media yang juga penerima pertama bantuan Tabung Kasih@HAWANA, Muhammad Basir dan saya pernah menziarahi Allahyarham serta keluarga di kediaman mereka pada 14 April 2023 sempena program sulung Kasih@HAWANA.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Saya memanjatkan doa kepada Allah SWT agar dikurniakan ketabahan serta kekuatan terhadap anak-anak mereka yang kini berusia 15, 13 dan 10 tahun,” katanya.
Terdahulu, adik Allahyarham Siti Salha Abu Bakar, 40, ketika dihubungi Bernama memaklumkan bahawa abangnya yang menghidap penyakit jantung meninggal dunia pada 6.45 petang.
Beliau berkata Muhammad Basir dimasukkan ke hospital sejak Sabtu lepas kerana mengalami kesakitan dan muntah-muntah.
Siti Salha berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Taman Taming Jaya, Cheras kira-kira 8 pagi esok untuk dikafan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 10, Cheras.
Muhammad Basir, 45, meninggalkan tiga anak berusia 10 hingga 15 tahun manakala isterinya, Nor Azlina Jaafar, yang juga bekas jurufoto Kumpulan Utusan telah meninggal dunia pada 17 Okt 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial