KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Inisiatif seperti Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital (DLE) adalah penting dalam mengukuhkan daya saing global Malaysia sambil menyokong pertumbuhan inklusif dan mampan ASEAN, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia adalah penting dalam mewujudkan ekosistem yang teguh untuk inovasi, pembangunan bakat dan kemajuan negara.
“Dalam menyandang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, peranan kita membentuk masa depan yang dipacu secara digital kini amat penting. Program DLE ini mencerminkan komitmen tersebut, yang melengkapkan pemimpin-pemimpin digital untuk memacu inovasi dan impak.
“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan MADANI komited untuk memupuk Malaysia yang berdaya saing dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Graduasi Program DLE 2024 di sini, hari ini.
Program DLE yang merupakan inisiatif kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia), berjaya menamatkan bahagian pertamanya, dengan pengijazahan kohort pertama program itu yang terdiri daripada 50 pemimpin daripada kerajaan, industri dan akademik.
Fahmi berkata inisiatif utama yang muncul daripada program DLE ini termasuk projek Hab Pendidikan Tinggi Nasional AI yang dipandu oleh Universiti Sains Islam Malaysia, yang bertujuan meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan Kecerdasan Buatan (AI) terkemuka di rantau ini menjelang 2030.
Beliau berkata ini termasuk Projek Kelestarian ESG Adoption for Malaysia SME, yang membantu syarikat perusahaan kecil sederhana (PKS) dalam menerima pakai amalan mampan melalui ekosistem digital, disokong oleh agensi kerajaan serta inisiatif-inisiatif lain.
"Projek-projek ini melangkaui teori, menawarkan penyelesaian praktikal yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi, kemampanan dan kecekapan. Kerja anda mencerminkan jenis kepimpinan yang Malaysia perlukan, strategik dan berkesan.
“Saya amat menggalakkan pemimpin di sektor awam dan swasta untuk merebut peluang ini dan menjadi sebahagian daripada kohort DLE masa hadapan," katanya sambil menambah bahawa program itu adalah perjalanan transformatif yang melengkapkan pemimpin dengan kemahiran, pandangan dan hubungan yang diperlukan untuk memacu impak dunia sebenar.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun berkata syarikat itu berbangga menjadi rakan kongsi dengan pemimpin digital yang hadir hari ini kerana Huawei mencipta ekosistem bakat yang akan memacu negara ini ke dalam kuasa digital di rantau ini.
"Sambil anda belajar daripada kami, ketahuilah bahawa anda juga menyediakan kami peluang berharga untuk belajar daripada anda. Kami kini berharap dapat bekerjasama dengan anda dalam mempercepatkan transformasi digital serta pintar," katanya.
Program DLE ialah inisiatif latihan hibrid lapan bulan intensif yang meliputi domain utama seperti 5G, AI, Internet Benda (IoT), Pengkomputeran Awan, Big Data, Teknologi Hijau dan Keselamatan Siber.
Dilancarkan pada Mac 2024, Program DLE dianggap sebagai respons langsung kepada seruan Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak ICT Malaysia 2023 yang dihoskan oleh Huawei Malaysia, untuk merapatkan jurang antara kepimpinan dan teknologi.
Program DLE disasar untuk membangunkan 300 Peneraju Digital Malaysia menjelang 2026, dengan matlamat utamanya adalah untuk melengkapkan pemimpin dengan pengetahuan dan alatan bagi menerajui transformasi digital dalam organisasi mereka dan meningkatkan kecekapan operasi.
Bahagian kedua Program DLE pula disasar melibatkan pembabitan 100 peserta, manakala bahagian ketiga dan terakhir akan menyasarkan 150 peserta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial