KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom sah beraksi dalam acara pecut individu pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai bermula 21-27 Feb ini.
Perkembangan itu dimaklumkan ketua jurulatih basikal trek kebangsaan Harnizam Basri, selepas atlet berusia 29 tahun itu bertemu pihak Institut Sukan Negara hari ini bagi menilai kecederaan lutut yang dialaminya ketika sesi latihan baru-baru ini.
Harnizam berkata berita itu juga satu kelegaan buat dirinya memandangkan Muhammad Shah atau lebih dikenali sebagai Shah Firdaus hanya perlu layak ke peringkat suku akhir untuk kekal berada di ranking 10 terbaik dunia bagi acara pecut.
“Bagi memastikan kecederaan tidak bertambah teruk, kita hanya meletakkan Shah Firdaus untuk sekurang-kurangnya sampai suku akhir bagi acara pecut. Jadi beliau ada rehat dua hari sebelum acara keirin.
“Sekiranya Shah sampai ke suku akhir, beliau akan dapat sekurang-kurangnya 200 mata dan mungkin akan kekal berada di ranking 10 terbaik dunia. Diharapkan beliau mampu untuk berada di kedudukan lapan terbaik acara pecut individu di kejohanan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Olimpian negara itu dalam masih belum membuat keputusan untuk menyertai acara pecut di ATC 2025.
Shah Firdaus dilaporkan berkata acara pecut memerlukan kayuhan daripada tahap rendah ke tinggi berbanding keirin yang banyak bergantung kepada taktik dan strategi perlumbaan.
Sementara itu, Shah Firdaus mengakui meskipun kecederaannya masih belum pulih sepenuhnya, beliau tetap positif untuk memburu slot ke final bagi acara keirin di perlumbaan berprestij itu.
“Sekarang memang nak mengekalkan ranking 10 terbaik dunia namun bagi acara keirin yang penting satu demi satu, saya nak ke final dulu dan akan beri apa yang saya boleh beri.
“Walaupun kita dalam keadaan yang baik ia tidak memberi apa-apa jaminan kerana dalam perlumbaan segalanya boleh berlaku, ini berdasarkan pengalaman. Saya positif, apa jadi pun saya tahu apa yang perlu saya buat, beri persembahan terbaik,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Mengulas berkenaan kecederaannya, Shah Firdaus berkata keputusan Imbasan Magnetik Resonans (MRI) minggu lepas mengesahkan beliau mengalami kecederaan medial quadriceps tendon yang memaksanya melalui proses pemulihan khas.
Beliau berkata kecederaan itu berlaku ketika sedang membuat persiapan untuk ke ATC baru-baru ini.
“Dua tahun nak bina diri tapi inilah risikonya, boleh sebabkan cedera dan cedera pula sebelum ATC, saya tertekan tak tahu buat macam mana, saya perlu pulih tetapi kecederaan ini ambil masa yang lama sebab lutut guna untuk kayuh,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial