AM

MBPP Arah Medan Selera Di Pulau Tikus Ditutup 14 Hari

20/02/2025 11:21 AM

GEORGE TOWN, 20 Feb (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan sebuah medan selera di Pulau Tikus di sini ditutup selama 14 hari bermula semalam selepas pemeriksaan menemukan bangkai tikus serta urungan najis tikus dan lipas.

MBPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menjalankan operasi kebersihan di kedai kopi berkonsepkan medan selera itu semalam, dan mendapati kebersihan premis berkenaan tidak mencapai tahap memuaskan.

“Mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 38(1) Establisymen Makanan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) 1991, arahan penutupan itu adalah berdasarkan faktor markah penilaian kebersihan gred premis yang tidak mencapai tahap memuaskan dan penemuan bangkai tikus serta urungan najis tikus dan lipas.

“Semasa pemeriksaan, pegawai MBPP turut mendapati satu gerai yang menyewa di medan selera itu berada dalam keadaan uzur dengan bau yang meloyakan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pegawai Jabatan Pelesenan MBPP turut memberikan teguran serta khidmat nasihat kepada pengusaha medan selera berkenaan. 

“Antara tindakan yang disyorkan termasuk kawalan serangga secara berkala, penyediaan perangkap minyak yang sempurna, penggantian bumbung gerai yang uzur serta pematuhan larangan penggunaan penyedut minuman plastik.

“Semua pengusaha makanan dinasihatkan untuk menitikberatkan aspek kebersihan, terutama di bahagian dapur, stor penyimpanan bahan mentah dan sistem perangkap minyak bagi memastikan makanan yang disediakan selamat untuk pelanggan,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan